Zamri (kanan) menyampaikan replika hadiah wang tunai RM5,000 yang dimenangi SK Puchong Indah, kepada Nik Suhaida pada Jumaat.
Zamri (kanan) menyampaikan replika hadiah wang tunai RM5,000 yang dimenangi SK Puchong Indah, kepada Nik Suhaida pada Jumaat.

SK Puchong Indah juara Sekolahku Meriah

MUKHRIZ MAT HUSINMUKHRIZ MAT HUSIN
24 Aug 2024 10:48pm

Sokongan padu daripada guru-guru dan ibu bapa yang menggalakkan 1,145 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong Indah, Selangor menghadiri Karnival Rakyat Karangkraf 2024 dan menyertai Pertandingan Sekolahku Meriah, menjadi faktor utama sekolah itu merangkul gelaran juara.

Hasil kejayaan itu sekolah tersebut memenangi wang tunai RM5,000 yang disampaikan oleh Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli.

Guru Besarnya, Nik Suhaida Razak berkata, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) turut membantu mempromosikan dan menguar-uarkan tentang pertandingan yang mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) itu di media sosial.

“Alhamdulillah ibu bapa di sini sangat menyokong program-program seperti Karnival Rakyat yang dianjurkan oleh Kumpulan Karangkraf ini,” kata ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Sekolahku Meriah di SK Puchong Indah, pada Jumaat.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Bakat Murid JPNS, Norfadzilah Rosdi; Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Bakat Murid JPNS, Masita Leman serta Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin.

Barisan kedua, Zamri (tiga dari kiri), Norfadzilah (tengah) dan Nik Suhaida (tiga dari kanan) bergambar kenangan bersama guru serta pelajar SK Puchong Indah.
Barisan kedua, Zamri (tiga dari kiri), Norfadzilah (tengah) dan Nik Suhaida (tiga dari kanan) bergambar kenangan bersama guru serta pelajar SK Puchong Indah.

Jumlah kehadiran murid SK Puchong Indah ke Karnival Rakyat Karangkraf jauh mengatasi SK Jalan Kebun yang merekodkan seramai 1,093 pelajar manakala Sekolah Agama Menengah (SAM) Bestari pula menghantar 702 pelajar.

Lebih membanggakan, SK Puchong Indah turut menerima hadiah wang tunai RM200 kerana memenangi kategori Gerai Paling Banyak Membuat Kutipan pada aktiviti Hari Kantin Sekolah pada Karnival Rakyat Karangkraf.

Artikel Berkaitan:

Nik Suhaida berkata, kemenangan itu disifatkan sebagai satu pencapaian luar biasa kerana karnival berkenaan disertai banyak sekolah lain di Selangor.

Menurutnya, ia menjadi pendorong kepada pihak sekolah untuk menggalakkan lebih ramai murid dan ibu bapa menyertai program-program akan datang.

“Secara keseluruhannya, kemenangan ini menjadi asbab bagi saya dan guru-guru untuk memikirkan apakah langkah seterusnya pada tahun akan datang untuk menggalakkan ramai lagi murid dan ibu bapa supaya menyertai program anjuran Kumpulan Karangkraf.


Pelajar SK Puchong Indah bersama-sama meraikan kemenangan sekolah mereka. Gambar kecil: Zamri, Nik Suhaida
Pelajar SK Puchong Indah bersama-sama meraikan kemenangan sekolah mereka. Gambar kecil: Zamri, Nik Suhaida

“Perancangan saya, tahun ini pihak sekolah buka penyertaan (menghadiri Karnival Rakyat Karangkraf) untuk murid Tahun Empat, Lima dan Enam sahaja. Mungkin pada tahun depan kita akan mempertimbangkan untuk membuka penyertaan bagi anak-anak didik Tahun Satu, Dua dan Tiga,” ujarnya.

Tambah beliau, karnival berkenaan merupakan satu pendekatan baik yang telah diambil oleh Kumpulan Karangkraf dalam mempromosikan jenamanya kepada orang ramai termasuk di peringkat sekolah.

Pelajar peroleh banyak manfaat

Sementara itu, Zamri berkata, Pertandingan Sekolahku Meriah kali ini amat sengit kerana jumlah kehadiran pelajar/murid yang ramai tahun ini.

“Berbanding tahun lepas, sekolah yang menang jumlah pelajarnya agak jauh dengan sekolah-sekolah lain.

“Tetapi tahun ini disebabkan sangat sengit, pihak Karangkraf dan Sinar Harian terpaksa buat pengiraan sehingga dua tiga kali. Selepas hampir dua minggu akhirnya kita putuskan SK Puchong Indah sebagai pemenang,” jelasnya.

Beliau berkata, lebih menarik apabila SK Puchong Indah turut mencatat jualan tertinggi Hari Kantin dengan meraih lebih RM4,000 dalam tempoh dua hari.

Menurutnya, selain Sekolahku Meriah, Kumpulan Karangkraf juga menyediakan banyak aktiviti yang bermanfaat untuk pelajar/murid.

Sokongan yang padu daripada ibu bapa pelajar menjadi faktor kejayaan SK Puchong Indah.
Sokongan yang padu daripada ibu bapa pelajar menjadi faktor kejayaan SK Puchong Indah.

“Pada program Hari Kantin, pelajar-pelajar terlibat mengendalikan gerai jualan bersama guru. Guru akan membantu dan menyelia pelajar dan kita mahu mendedahkan murid-murid ini dengan ilmu keusahawanan.

“Paling penting, kita tidak mengenakan sewa tapak jadi semua hasil jualan dikembalikan kepada sekolah,” katanya.

Karnival Rakyat Karangkraf 2024 yang berlangsung pada 26 hingga 28 Julai lalu dianjurkan sempena ulang tahun Sinar Harian ke-18 dengan kerjasama JPNS.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp