Cikgu Rubita Alsara (tengah dua dari kanan) bergambar bersama guru dan murid yang terlibat dalam Projek Studio TVPPS SKS9 pada majlis Jelajah TVPSS.
Cikgu Rubita Alsara (tengah dua dari kanan) bergambar bersama guru dan murid yang terlibat dalam Projek Studio TVPPS SKS9 pada majlis Jelajah TVPSS.

SK Seksyen 9 sasar cungkil bakat baharu menerusi Studio TVPSS

FIRDAUS HANAFI MOHD ZAIN
21 Feb 2023 02:02pm
A
A
A

Hari ini bidang profesional berkaitan media contohnya kewartawanan, pengiklanan atau penyiaran semakin mendapat tempat dalam masyarakat kita termasuk murid sekolah.

Demi menonjolkan diri murid-murid dan mengenalkan kepada mereka dunia media massa, TV Pusat Sumber (TVPSS) yang merupakan projek khas inovasi pusat sumber sekolah telah diwujudkan dalam usaha menyokong pembelajaran abad ke-21.

Menyedari akan kepentingan tersebut, Sekolah Kebangsaan Seksyen 9 (SKS9) Shah Alam, Selangor, turut membangunkan projek Studio TVPSS di sekolah untuk manfaat semua.

Penyelaras TVPSS SKS9, cikgu Rubita Alsara berkata, objektif utama penubuhan TVPSS di sekolah itu adalah untuk mewujudkan sebuah platform bagi mencukil bakat murid yang berminat dengan industri media.

Jelas cikgu Rubita lanjut, mereka yang terlibat dengan projek tersebut terdiri daripada 20 guru dan murid.

“Selain guru, murid-murid yang terlibat ialah Tahun Tiga dan ke atas dan bagi murid Tahun Satu dan Dua terlalu muda untuk didedahkan dengan pembelajaran sebegini.

“Studio ini akan dijadikan platform untuk mengenalkan dan mendedahkan kepada murid-murid yang mempunyai minat dalam industri media asas-asas media.

“Antara aktiviti yang dilakukan adalah pertandingan pengacaraan, membaca berita serta membenarkan ahli TVPSS untuk membuat liputan acara yang berkaitan dengan sekolah ini seperti Hari Sukan Sekolah, Hari Guru, Hari Kantin dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada majlis Jelajah TVPSS di Pusat Sumber SKS9, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu ujar cikgu Rubita, beliau bersyukur proses pembangunan Studio TVPSS berjalan seperti yang dirancang.

Tutur beliau lagi, perancangan dan kertas kerja untuk membangunkan studio itu telah dipersiapkan sejak tahun lalu.

Jelasnya, projek itu mengambil masa lama kerana faktor seperti kekurangan ruang di sekolah serta dana yang tidak mencukupi untuk menyediakan studio yang lengkap dengan alatan asas.

“Proses menubuhkan Studio TVPSS SKS9 ini mengambil masa yang panjang kerana pada awalnya kami kekurangan bilik untuk dijadikan studio.

“Akhirnya kami memutuskan untuk membina studio ini di Bilik Alat Pandang Dengar (APD) dan untuk masalah dana kami menerima sumbangan daripada orang ramai termasuk para guru dan ibu bapa murid sekolah.

“Alhamdulillah, selain gembira kami pastinya amat menghargai dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam proses pembinaan Studio TVPSS ini,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok