Lima murid SK Seri Kampung Tengah berbangga kerana membawa nama Malaysia ke Persidangan ICCGS di Ahmedabad, India mulai 29 November hingga Isnin.
Lima murid SK Seri Kampung Tengah berbangga kerana membawa nama Malaysia ke Persidangan ICCGS di Ahmedabad, India mulai 29 November hingga Isnin.

SK Seri Kampung Tengah wakili Malaysia ke ICCGS, India

AZLEENDA SAHALUDIN
04 Dec 2023 09:33am
A
A
A

Lima murid berjaya mengharumkan nama sekolah apabila memenangi pertandingan I Can School Challenge.

Lebih mengujakan apabila kelima-lima murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kampung Tengah, Kluang, Johor itu layak ke Persidangan I Can Children Global Summit (ICCGS) di Ahmedabad, India.

Noor Halini
Noor Halini

Ketua pasukan merangkap guru pembimbing, Noor Halini Allias berkata, pihaknya sangat gembira apabila tersenarai dalam 10 buah sekolah mewakili Malaysia ke India.

“Alhamdulillah usaha selama lebih kurang empat bulan, membuahkan hasil lumayan.

“Terima kasih kepada Guru Besar, Norizam Mohd Junid yang sentiasa menyokong penuh usaha kami sehingga berjaya capai ke tahap ini.

“Tidak dilupakan, jutaan terima kasih kepada pihak yang menyumbang kepada projek kami antaranya UNESCO Geopark Langkawi, Yayasan Hasanah, Frog Asia YTL, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kluang dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor,” ujarnya kepada Sinar Bestari.

Noor Halini memberitahu, projek yang dilaksanakan pasukan sekolah itu memfokuskan kelestarian alam di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 15 iaitu hidupan atas darat.

Seramai lima murid terlibat iaitu Muhammad Hayqal Wafiy Mohd Hafiz, Muhamad Firas Darwisy Ibrahim Idham, El-Putra Suhayb Rama, Qaireena Nur Delisya Mohd Hafiz dan Nursolehatul Amni Mohd Zulkifli.

Artikel Berkaitan:

“Melalui projek ini, murid-murid melakukan aktiviti penanaman bakau, mengetahui tentang kepentingan alam sekitar untuk dipelihara, mengamalkan kitar semula dan memupuk kesedaran orang ramai terhadap kelestarian alam.

“Mereka juga melaksanakan projek bakau secara berkala dengan kerjasama Taman Negara Tanjung Piai dan UNESCO Geopark Langkawi,” jelasnya.

Jelas Noor Halini, segala persiapan dilakukan bagi menghadiri persidangan itu bermula 29 November hingga 4 Disember ini, termasuk persembahan tarian pada malam kebudayaan nanti agar dapat mengetengahkan lagi nilai budaya Malaysia kepada negara luar.

Untuk rekod, I Can School Challenge merupakan pertandingan cungkil bakat murid dalam mencari penyelesaian menerusi sesuatu isu.

Dengan semangat I Can, murid diberi peluang meneroka isu atau masalah untuk diselesaikan melalui kaedah Feel, Imagine, Do and Share.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok