SK Tanah Merah dipilih menjadi sekolah angkat RAMD

AZLEENDA SAHALUDIN
24 Feb 2023 03:22pm
A
A
A

Konsep Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) yang diperkenalkan pada Jun 2015 merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan (KPM) ke arah meningkatkan elemen kemenjadian murid dan sekolah berkualiti melalui persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan.

Ia melibatkan sokongan serta kerjasama daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan komuniti bersama sekolah dalam menyokong elemen berkenaan bagi melahirkan lebih ramai murid yang berkaliber pada masa depan.

Mengambil pendekatan positif daripada kerangka konsep itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Merah, Kedah, telah terpilih menjadi sekolah angkat kepada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dalam Majlis Deklarasi yang diadakan baru-baru ini.

Menurut Guru Besarnya, Rafieh Yob, majlis itu bertujuan menyambut baik program TS25 daripada kerajaan sebagai usaha melahirkan sekolah yang kondusif dan selamat.

Kata beliau, program sekolah angkat bukan sahaja dapat meningkatkan jalinan kerjasama bersama agensi luar bahkan juga merupakan serampang dua mata yang sangat penting dalam menarik minat murid hadir ke sekolah.

“Peranan sekolah bersama Persatuan Ibu Bapa Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) amat penting dalam memastikan semua program berorentasikan kerjasama masyarakat yang dirangka akan mudah tercapai.

“Malah semua pihak juga perlu bersama-sama mengembeleng tenaga dan usaha supaya hasrat mewujudkan kawasan sekolah yang kondusif, ceria dan menyeronokkan ini dapat dicapai,” ujarnya.

Sementara itu, Leftenan Kolonel, Muhammad Bashiruddin Jamaluddin turut memberitahu, RAMD sentiasa bersedia menyumbang tenaga dan bakti sejajar dengan hasrat membantu sekolah dalam beberapa bidang seperti kokurikulum dan keceriaan.

Artikel Berkaitan:

“Jalinan kerjasama ini diharap dapat menjadi contoh kepada agensi lain dalam menjayakan visi dan misi sekolah.

“Istilah ‘connecting the dot’ perlu difahami oleh semua masyarakat dan agensi dalam menjana kemenjadian murid yang menjadi elemen utama dalam kerangka TS25,” jelasnya.

Tambah Rafieh Yob lagi, sekolah amat mengharapkan lebih banyak agensi luar bidang pendidikan dapat menjadi sebahagian daripada kekuatan dan tulang belakang kejayaan sekolah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok