Skuad hoki perempuan SK Bandar Seri Putra diumum naib johan dalam Kejohanan Hoki Majlis Sukan Sekolah Daerah Hulu Langat baru-baru ini.
Skuad hoki perempuan SK Bandar Seri Putra diumum naib johan dalam Kejohanan Hoki Majlis Sukan Sekolah Daerah Hulu Langat baru-baru ini.

Skuad hoki perempuan SK Bandar Seri Putra buktikan kehebatan di padang, rangkul naib johan MSSD Hulu Langat!

12 Aug 2025 05:31pm

Skuad hoki perempuan Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor melakar detik gemilang apabila berjaya merangkul naib johan dalam Kejohanan Hoki Majlis Sukan Sekolah Daerah Hulu Langat di Stadium Hoki Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Ketua Jurulatih SK Bandar Seri Putra, Cikgu Saiful Nihar Mohd Taib, prestasi luar biasa ditunjukkan pemain menjadi faktor kejayaan yang julung kalinya diraih oleh pasukan itu memandangkan saingan hebat daripada sekolah-sekolah bertanding.

"Perlawanan yang diharungi kali ini sangat sengit namun berkat latihan intensif dan pendedahan di beberapa kejohanan peringkat kebangsaan, ia akhirnya membuahkan hasil iaitu membentuk satu pasukan yang matang dan berdaya saing," katanya kepada Sinar Bestari.

Tambah beliau, hasil usaha keras barisan jurulatih serta sokongan padu pihak sekolah turut menjadi faktor kepada kejayaan tersebut.

No Image Caption

"Tidak dinafikan, peranan dan sokongan padu daripada pihak sekolah khususnya Guru Besar, Cikgu Noridah Abd Aziz serta Penolong Kanan Kokurikulum, Cikgu Zurita Ibrahim bersama penglibatan aktif semua ibu bapa, memberikan sumbangan besar terhadap kejayaan ini.

"Selain itu, kehadiran empat jurulatih berdedikasi iaitu Cikgu Nurul Akmal Noordin, Cikgu Suzilawati Mohamad, Cikgu Mohd Fudhali Razali dan Cikgu Muhammad Faiz Fathi Zuraidi, turut memainkan peranan penting dalam membimbing dan memantapkan pasukan SK Bandar Seri Putra yang bertungkus lumus berusaha mencapai kecemerlangan.

Artikel Berkaitan:

"Gabungan usaha bersepadu inilah yang membentuk pasukan mantap dan berdaya saing, membuktikan bahawa kejayaan adalah hasil daripada kerjasama erat seluruh warga sekolah dan komuniti," ujarnya lagi.

Cikgu Saiful Nihar
Cikgu Saiful Nihar

Sementara itu, Cikgu Saiful turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kumpulan Sarana Ibu Bapa, pihak pentadbiran sekolah khususnya Guru Besar dan Penolong Kanan Kokurikulum atas sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap pasukan tersebut sejak dari awal persiapan hingga ke hari kejohanan.

Beliau menegaskan bahawa kejayaan yang diraih bukan sekadar hasil latihan di padang, tetapi juga berkat doa, dorongan moral dan komitmen padu daripada semua pihak yang terlibat.

"Semoga bakat-bakat muda yang berjaya dicungkil melalui kejohanan ini dapat terus digilap seterusnya mewarnai arena hoki negara pada masa akan datang sekali gus mengharumkan nama sekolah, negeri dan Malaysia di pentas lebih tinggi," katanya.

Skuad hoki lelaki SK Bandar Seri Putra pula berjaya ke peringkat suku akhir dalam kejohanan ini.
Skuad hoki lelaki SK Bandar Seri Putra pula berjaya ke peringkat suku akhir dalam kejohanan ini.

Nur Arina Khaiyishah Khairul Nizam dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik dalam kejohanan kali ini.
Nur Arina Khaiyishah Khairul Nizam dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik dalam kejohanan kali ini.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp