Aidah sebak semasa mencium baju baharu dipilihnya untuk Syawal dalam Program Belanja Raya Bersama Anak-anak Asnaf MAINJ Daerah Pontian di Pasar Raya Mydin, Mutiara Rini, Johor Bahru pada Ahad.
Aidah sebak semasa mencium baju baharu dipilihnya untuk Syawal dalam Program Belanja Raya Bersama Anak-anak Asnaf MAINJ Daerah Pontian di Pasar Raya Mydin, Mutiara Rini, Johor Bahru pada Ahad.

Tiga tahun Aidah tidak tukar baju raya

25 Mar 2024 11:39am

Menjelang Hari Raya Aidilfitri bulan depan, pastinya setiap keluarga sudah bersedia dengan kelengkapan baharu.

Bagi Aidah Asnah Aharis, 11, dari Kampung Sungai Durian, Kukup, Pontian, Syawal pada kali ini amat bermakna kerana dapat membeli baju raya selepas tiga tahun dia dan tujuh lagi adik beradiknya tiada pakaian baharu kerana keluarganya mahu berjimat cermat.

Anak keenam daripada lapan beradik itu berkata, tiada baju raya baharu sebelum ini kerana tidak mampu berikutan bapanya hanya bekerja sebagai tukang rumah manakala ibunya tidak bekerja.

"Seronok dan tak sabar nak sambut Aidilfitri tahun ini dengan kasut dan baju baharu yang dibeli hari ini berwarna merah. Hari raya kali ini amat bermakna bagi saya," katanya kepada pemberita.

Dia merupakan seorang daripada 100 anak-anak yang terpilih dalam Program Belanja Raya Bersama Anak-anak Asnaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Daerah Pontian di Pasar Raya Mydin, Mutiara Rini, Skudai di sini pada Ahad.

Program itu dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Nasri Md Ali.

Aidah berkata, dia yang merupakan murid Darjah 5 di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Durian tidak menyangka terpilih dalam program itu dan berterima kasih kepada pihak yang memberikan sumbangan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Siti Balqis mencuba baju Melayu untuk adiknya selepas terpilih dalam Program Belanja Raya Bersama Anak-anak Asnaf MAINJ Daerah Pontian di Pasar Raya Mydin, Mutiara Rini, Johor Bahru.
Siti Balqis mencuba baju Melayu untuk adiknya selepas terpilih dalam Program Belanja Raya Bersama Anak-anak Asnaf MAINJ Daerah Pontian di Pasar Raya Mydin, Mutiara Rini, Johor Bahru.

Bagi pasangan adik beradik Siti Balqis Afindi, 12, dan adiknya, Mohd Narhan, 7, dari Parit Suka Raja tidak dapat menyebunyikan perasaan teruja apabila terpilih dalam program berkenaan.

Dia dan adiknya yang merupakan murid SK Sungai Bunyi berkata, Ini kerana dapat peluang memilih pakaian sendiri untuk mereka berdua sempena Aidilfitri kali ini.

"Sumbangan ini pasti dapat ringankan beban ibu untuk buat persiapan beli baju baharu menjelang Aidilfitri. Ayah saya hanya kerja kampung manakala ibu pula hanya suri rumah," katanya.

Rania Darwisyah (kanan) membantu adiknya, Raishah Amanda mencuba baju kurung selepas terpilih dalam Program Belanja Raya Bersama Anak-anak Asnaf MAINJ Daerah Pontian.
Rania Darwisyah (kanan) membantu adiknya, Raishah Amanda mencuba baju kurung selepas terpilih dalam Program Belanja Raya Bersama Anak-anak Asnaf MAINJ Daerah Pontian.

Satu lagi pasangan adik beradik yang terpilih dalam program itu, Rania Darwisyah Didi Nazril, 11, dan adiknya, Raishah Amanda, 9, yang tinggal di kuaters Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pontian, memilih corak dan warna baju yang sama untuk Syawal kali ini.

"Seronok sambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini apabila kami dapat baju baharu. Tahun lepas ada beli baju raya, tahun sebelumnya tak ada," ujar Rania Darwisyah yang merupakan anak sulung kepada empat beradik dan belajar di SK Sungai Durian.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp