Ustaz Quszaini (tengah) bersama calon-calon UPKK 2024 yang kini sedang menduduki peperiksaan itu mulai Isnin hingga Khamis ini.
Ustaz Quszaini (tengah) bersama calon-calon UPKK 2024 yang kini sedang menduduki peperiksaan itu mulai Isnin hingga Khamis ini.

Tip mudah raih 9A dalam UPKK 2024

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
06 Jan 2025 01:52pm

Peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) Tahun 2024 kini berlangsung mulai 6 Januari hingga 9 Januari 2025.

Ia merupakan peperiksaan yang menilai tahap kemahiran, kebolehan dan penghayatan murid-murid dalam bidang pengajian Al-Quran, Ulum Syariah (Aqidah dan Ibadah), Sirah, Adab (Akhlak Islamiyah), Jawi dan Khat serta Asas Lughatul Quran.

Terdapat sembilan subjek UPKK mulai 2024 iaitu Amali Solat; Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI); Tilawah Al-Quran; Pelajaran Jawi dan Khat; Sirah; Ibadah; Aqidah; Adab (Akhlak Islamiah) dan Lughah Al-Quran.

Guru Bahasa Arab, Sekolah Kebangsaan (SK) Pasukan Polis Hutan, Ipoh, Perak, Ustaz Quszaini Abd Manan berkata, setiap murid Tahun Lima pastinya menginginkan keputusan Mumtaz (cemerlang) dalam UPKK 2024.

Untuk mendapatkannya, latihan dan ulang kaji yang berterusan perlu dilakukan oleh mereka tanpa jemu.

No Image Caption

Ujarnya, terdapat tujuh tip mudah boleh diamalkan anak-anak UPKK bagi memperoleh keputusan cemerlang.

1) Lapang dada dan tumpukan perhatian

Artikel Berkaitan:

Murid dinasihatkan tidak panik. Mohon berlapang dada dan beri tumpuan dalam keadaan tenang. Insya-ALLAH, anda pasti berjaya.

2) Semak jadual

Semak jadual terkini UPKK 2024 bagi menentukan masa mencukupi atau tidak untuk belajar. Setelah semakan dilakukan, buat latihan dan ulang kaji sebagai persediaan menduduki peperiksaan seterusnya.

3) Ulang kaji

Kunci bagi peperiksaan adalah ulang kaji. Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu. Ini penting bagi mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan.

Kebiasaannya, banyak latihan yang dibuat, akan banyak kekuatan mengingat untuk sesuatu topik. Jangan sesekali jemu membuat ulang kaji. Langkah ini adalah untuk membiasakan anda dengan soalan standard dan seterusnya membolehkan ingatan murid kekal dan berpanjangan.

4) Gunakan gambar rajah dan carta alir

Semua murid suka pada bahan atau alat bantu visual. Ia sangat membantu apabila menyemak semula topik-topik yang hendak diulang kaji. Gariskan dengan pen atau terangkan mana-mana isi yang penting.

Pada permulaan sesuatu topik, pastikan anda menulis semua perkara yang sudah anda hadam dan barulah seterusnya ke sub-sub yang masih belum dikuasai. Manakala apabila hampir dengan peperiksaan, cuba letakkan nota semakan anda ke dalam rajah satu muka surat. Buatkan gambarajah atau carta alir dalam format ringkas. Ini dapat membantu murid cepat mengingat semua fakta yang telah dipelajari.

No Image Caption

5) Banyak mengingat dan membuat kajian

Mengingat adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan oleh semua calon dan terdapat pelbagai cara yang boleh anda gunakan untuk mengingat. Antaranya membaca secara berulang bagi mengingat sesuatu fakta. Apa pun cara dan teknik masing-masing, pastikan matlamat mengingat dapat dicapai dengan sebaiknya.

6) Merancang persiapan peperiksaan

Ada dua perkara yang mesti diamalkan calon untuk cemerlang dan berjaya.

a) Pada hari peperiksaan, pergi ke sekolah atau dewan peperiksaan lebih awal.

Ingat, perbuatan tergesa-gesa menjanjikan pelbagai masalah dan tidak dapat menumpukan pada hari peperiksaan. Ketika berada dalam dewan, anda hendaklah dalam keadaan tenang dan anggaplah peperiksaan itu sebagai perkara biasa.

Jika menjawab soalan objektif, ketelitian semestinya diperlukan. Menentukan pilihan jawapan yang tepat amat penting. Seandainya tersalah tanda, padamkan betul-betul sehingga hilang tanda hitam pensel.

b) Setelah selesai menduduki sesuatu peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan dari timbul serba salah dan kerunsingan murid tersebut.

7) Minum banyak air

Murid dinasihatkan minum banyak air. Minum air adalah baik dan penting untuk otak bekerja dan berfungsi dengan sempurna. Pastikan anda menyimpan banyak air sepanjang mengulang kaji dan juga pada hari peperiksaan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp