Yayasan PETRONAS beri sumbangan kelengkapan persekolahan kepada 21,000 murid seluruh negara

AZLEENDA SAHALUDIN
22 Mar 2023 04:56pm
A
A
A

Seramai 30 murid Sekolah Pendidikan Khas (SKP) dan Sekolah Rendah Lelaki Jalan Batu, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, menjadi penerima awal kelengkapan sekolah dalam Progam Kembali Ke Sekolah 2023, Yayasan Petronas, pada Rabu.

Program anjuran bersama Yayasan Didik Negara itu bertujuan membantu meringankan beban kewangan ibu bapa terutamanya daripada golongan berpendapatan rendah (B40) dalam penyediaan kelengkapan persekolahan anak-anak.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Shariah Nelly Francis, inisiatif ini diharap dapat meringankan beban ibu bapa sekali gus mengurangkan jurang kemampuan persekolahan anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Program ini memfokuskan sumbangan dalam dua bentuk iaitu beg sekolah yang merangkumi sebuah beg galas dan alat tulis serta sepasang pakaian seragam sekolah, sepasang pakaian sukan, sepasang kasut sekolah dan sepasang stokin yang boleh ditebus melalui baucar.

“Bagi pelajar sekolah menengah pula, akan menerima satu kalkulator saintifik manakala murid sekolah rendah akan menerima satu set pensil warna,” ujarnya ketika Majlis Pelancaran Memperkasakan Ilmu: Back to School (BTS) 2023 di SKP Jalan Batu, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Melalui program ini, Shariah memberitahu, seramai 21,000 murid sekolah rendah dan menengah seluruh negara akan menerima sumbangan kelengkapan persekolahan pada pertengahan Mac hingga Mei di 16 buah negeri.

Tambahnya, sejak mula dilancarkan 10 tahun lalu, Yayasan PETRONAS melalui program BTS terus berusaha memastikan matlamatnya meringankan beban golongan B40 dalam bidang pendidikan di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok