
2 guru KV Keningau wakil Malaysia ke Korea Selatan! Pejuang TVET digital di pentas dunia
Dua pendidik dari Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah, mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa apabila menyertai bengkel bertaraf global di Jeju, Korea Selatan baru-baru ini.
Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang dan Guru Cemerlang Bahasa Inggeris, Khalifa Affnan mengikuti Capacity-Building Workshop on AI in Education for ASEAN TVET Teachers and Educators dengan tujuan memberi tumpuan kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI), realiti maya (VR) dan teknologi digital dalam menerajui transformasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Sabah.
Program anjuran Pusat Serantau Pembangunan Pendidikan Teknikal Organisasi Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO TED) dengan kerjasama Cheju Halla University turut disertai delegasi dari Brunei, Filipina, Indonesia, Kemboja dan China.
Menurut Khalifa, penyertaan mereka dalam bengkel itu membuka lembaran baharu kepada KV Keningau dalam menyesuaikan teknologi digital dengan keperluan pelajar vokasional di Sabah.

"Antara teknologi utama yang dibincangkan adalah AI, VR, automasi industri dan sistem Internet of Thing (IoT) di mana semuanya menyasarkan keberkesanan pembelajaran dalam program seperti kulinari, kosmetologi, automotif dan banyak lagi.
"Malah, penggunaan simulasi digital juga mampu meningkatkan keselamatan dan keberkesanan latihan, sama ada di dapur, salon atau bengkel," katanya.
Selain perkongsian ilmiah, delegasi turut melawat Sekolah Menengah Teknik Seoul (rakan kolaborasi KV Keningau sejak 2017) yang dilengkapi kemudahan berteknologi tinggi seperti pencetakan 3D, automasi industri dan IoT.

Di sana, peserta meninjau sendiri kemudahan teknologi tinggi termasuk 3D printing dan sistem automasi terkini yang berpotensi diadaptasi untuk pelajar Sabah.
Menurut Lumang, lawatan kerja itu mengukuhkan lagi komitmen KV Keningau untuk memacu pembelajaran digital secara menyeluruh.
"Dalam usaha merealisasikan pembelajaran digital, KV Keningau kini sedang membangunkan KVC Nexus iatu platform digital dalaman yang direka untuk memperkemaskan pengurusan akademik dan pengalaman pembelajaran.
"Kami bukan sekadar meniru, tetapi menyesuaikan idea global dengan keperluan tempatan," jelasnya.

Mengulas lanjut, Lumang berkata, kejayaan (KV Keningau) tidak hanya bergantung kepada teknologi semata-mata sebaliknya ia datang daripada kepimpinan guru yang berwawasan dan progresif.
"Ramai dalam kalangan guru kita telah menerima pengiktirafan nasional seperti Guru Peneraju Generasi Digital (GPGD), Cikgu Juara Digital, Apple Learning Coach dan Google Certified Educator.
"Pencapaian ini secara tidak langsung menjadi bukti komitmen KV Keningau dalam memperkasakan pendidikan digital,” katanya.

Sementara itu, sempena pembukaan permohonan Guru Cemerlang oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) baru-baru ini, Khalifa mengajak lebih ramai guru di Sabah untuk tampil ke hadapan.
"Sabah ada bakat, semangat dan potensi. Dengan sokongan dan keberanian, kita boleh jadi peneraju dalam transformasi pendidikan digital," kata beliau.

Sinar Bestari mengucapkan tahniah kepada warga KV Keningau atas pencapaian ini.
Semoga ia menjadi inspirasi kepada seluruh komuniti pendidikan khususnya para pendidik di Sabah untuk terus mara ke hadapan membawa obor transformasi pendidikan digital negara.
