
3 pelajar Sarawak harumkan Malaysia di GELOSEA
Tiga pelajar dari Sarawak telah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa apabila berjaya mencatat pencapaian membanggakan dalam Global English Language Olympiad of Southeast Asia (GELOSEA) 2025, Incheon, Korea Selatan baru-baru ini.
Keunggulan mereka bukan sahaja mengangkat nama negeri Sarawak, malah menjadi bukti bahawa bakat dan kecemerlangan serta kemahiran dalam penggunaan bahasa Inggeris anak-anak muda ini setanding dengan peserta dari seluruh dunia.
Aariz Abdillah (Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Aman); Darrel Nathaneal Buko Desmond dan Marc Xavier Pitor Dineal Gumis, masing-masing dari Sekolah Menengah Sains Kuching Utara (SAKURA) telah membawa pulang kemenangan luar biasa kepada negara.

Aariz merangkul pingat berlian (diamond) dalam kategori Menengah 2 iaitu satu pencapaian tertinggi di GELOSEA 2025.
Manakala Darrel Nathaneal memperolehi pingat emas dan Marc Xavier Pitor merangkul pingat gangsa bagi kategori Menengah 3.
Prestasi gemilang yang diraih tiga pelajar ini menunjukkan dengan jelas bahawa pelajar Malaysia khususnya dari Sarawak, mampu bersaing di pentas antarabangsa sekali gus menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Terdahulu, GELOSEA ialah pertandingan antarabangsa dalam bahasa Inggeris yang dianjurkan Global League of Winners, Inc (GLOW).
Pertandingan ini menyediakan platform bagi pelajar untuk menguji dan meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris mereka serta memberi peluang untuk berinteraksi dengan rakan sebaya dari pelbagai negara, memperkukuh jaringan pendidikan dan budaya di rantau Asia Tenggara.
