
Alumni hadir ke sekolah. ‘Nak jumpa semula cikgu-cikgu yang mendidik saya dahulu’
Hari Guru disambut saban tahun dengan penuh rasa syukur dan penghargaan terhadap para pendidik yang tidak pernah jemu mencurahkan ilmu.
Sambutan itu bukan sekadar perayaan tetapi sebagai tanda kasih, hormat dan terima kasih kepada insan bergelar guru yang sanggup berkorban demi melahirkan generasi berilmu serta berakhlak mulia.
Tidak melepaskan peluang, alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19, Shah Alam, Muhammad Danish Syahrul Azhar, 23, hadir ke sekolah untuk menyambut hari guru.
Meskipun dia telah meninggalkan sekolah itu hampir enam tahun, hari ini dia kembali lagi sebagai alumni untuk mengenang semula momen di institusi berkenaan.
“Saya datang ke sekolah hari ini sebab nak meraikan lagi guru-guru yang mengajar dan mendidik saya.
“Saya hargai pengorbanan semua cikgu saya kerana kerana mereka, saya tahu apa hala tuju hidup saya,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Bestari.
Meskipun Muhammad Danish mempunyai komitmen lain, dia sanggup meluangkan hampir dua jam di tempat menimba ilmu sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) cawangan Shah Alam.

Dia berkongsi bahawa bekas gurunya memperkenalkan program mencipta kandungan video menerusi program bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).
“Cikgu minta saya sertai pertandingan mencipta kandungan, menyunting video dan sebagainya.
“Jadi, dari situ saya mula minat dan berjaya sertai pertandingan melalui pendidikan STEM sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya yang ketika ini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (kepujian) di UiTM.
Hari Guru merupakan satu kesempatan berharga untuk pelajar merenungi peranan guru sebagai pemangkin kecemerlangan pendidikan dan pembina generasi masa depan.
Pengorbanan, komitmen, dan dedikasi para guru dalam mendidik anak bangsa tidak dapat dinilai dengan kata-kata atau material semata-mata.