
Anak imam akui Matematik pernah dapat E, tapi SPM 'straigt A'
"Semasa peperiksaan percubaan, saya hanya dapat gred E untuk Matematik, tapi kali ini semua A. Saya sendiri terkejut dan tidak menyangka berjaya memperoleh keputusan 'straight A'.”
Demikian luahan Mazuinah Yasmin Azizan, 18, yang mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Mazuinah Yasmin yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong, Beaufort, Sabah berkata, sebelum ini dia hanya menyasarkan sekitar 6 hingga 7A sahaja, namun kejayaan meraih 9A benar-benar di luar jangkaannya.
"Bagi saya, mata pelajaran Sains dan Matematik paling mencabar. Saya perlu usaha lebih untuk faham dan kuasai topik, jadi saya buat latihan dan tulis nota berulang kali untuk lebih mudah mengingat fakta.
"Kalau terlalu penat pun, saya tetap paksa diri untuk ulang kaji walaupun sekejap, sekurang-kurangnya 10 minit. Alhamdulillah, semasa peperiksaan sebenar, saya yakin dengan setiap jawapan walaupun soalan tidaklah semudah dijangka," katanya yang mengambil aliran Sastera dengan subjek tambahan seperti Perniagaan dan Tasawur Islam.
Anak kedua daripada empat beradik itu turut berkongsi bahawa kekuatan utamanya datang daripada sokongan keluarga serta amalan solat tahajud yang menjadi rutin sepanjang tempoh peperiksaan.
"Bapa saya seorang imam dan beliau sentiasa mengingatkan supaya bersandarkan kepada ALLAH SWT dalam setiap usaha. Sejak SPM, saya tidak pernah tinggal solat tahajud kerana saya percaya pada kekuatan doa waktu itu.
"Saya teringat satu perumpamaan, tahajud itu seperti panah yang tepat mengenai sasaran. Selalunya saya akan bangun sekitar jam 2 hingga 3 pagi untuk solat sebelum sambung belajar," katanya.
Mazuinah Yasmin berkata, walaupun keluarganya hidup dalam serba sederhana, dia melihat kejayaan ini sebagai titik permulaan untuk membantu mengubah nasib mereka.
"Selain menjadi imam, bapa saya juga bekerja mengambil buah kelapa sawit dan mengambil upah membina rumah. Pendapatan keluarga sekitar RM1,200 sebulan, cukup-cukup makan sahaja.
"Alhamdulillah, mujur saya penerima bantuan biasiswa dan memang gunakan sepenuhnya untuk membeli buku dan keperluan belajar. Setiap sen memang sangat membantu," katanya.
Mazuinah Yasmin kini menyimpan harapan untuk menyambung pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG), selaras dengan cita-citanya sejak kecil menjadi seorang guru, namun turut mempertimbangkan bidang guaman sebagai pilihan kedua.
"Saya memang minat jadi cikgu, tapi kalau tiada rezeki di IPG, saya akan cuba masuk universiti dalam bidang perundangan. Harapnya, ini permulaan untuk bantu keluarga dan capai cita-cita," katanya dengan bersemangat.