Mek Nab (kiri) membaca surah Yasin di MRSM Lenggong untuk cucunya, Muhammad Afifi (tengah) yang sedang menduduki peperiksaan SPM ketika itu.
Mek Nab (kiri) membaca surah Yasin di MRSM Lenggong untuk cucunya, Muhammad Afifi (tengah) yang sedang menduduki peperiksaan SPM ketika itu.

Berkat nenek baca Yasin di luar dewan peperiksaan, cucu dapat 9A SPM

SAIFULLAH AHMADSAIFULLAH AHMAD
25 Apr 2025 12:07pm

Ikhtiar seorang nenek membaca surah Yasin untuk cucunya yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berhasil apabila pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Lenggong, Perak itu berjaya memperoleh keputusan 9A bagi semua mata pelajaran.

Muhammad Afif Syakirin Rahimi, 18, tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya apabila usaha serta penat lelah sebelum ini membuahkan hasil.

Dia mengakui tidak menyangka keputusan itu diterimanya walaupun pihak sekolah memang meletakkan sasaran semua A bersama 35 rakan-rakan lain.

"Pada awalnya selepas habis peperiksaan saya rasa hanya dapat 9A sahaja kerana ada mata pelajaran yang sukar dan tak pasti jawapannya betul atau tidak.

"Alhamdulillah, selepas tengok keputusan itu saya tak sangka dapat empat subjek A+ manakala selebihnya 5A.

"Ini mungkin berkat doa nenek, keluarga, guru-guru dan rakan-rakan," katanya pada Khamis.

Muhammad Afif Syakirin merancang melanjutkan pengajian dalam bidang profesional seperti kejuruteraan, perniagaan dan perubatan.

Sementara itu, neneknya, Mek Nab Abdul Rahman, 82, paling gembira mendapat berita kejayaan cucunya itu kerana memang menjadi amalan untuk mendoakan anak dan cucu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, biarpun tinggal di Kelantan, sesekali datang ke Lenggong di rumah anaknya sambil menjenguk cucu di MRSM jika ada kesempatan.

Bagi bapanya, Rahimi Ashari, 56, anak bongsu dari dua beradik itu telah lakukan yang terbaik untuk membanggakan keluarga dengan keputusan cemerlang itu.

"Rumah kami ke sekolah dekat sahaja dalam 15 minit. Jadi saya memang kerap ke MRSM Lenggong untuk lawat anak, bagi semangat kalau pihak sekolah benarkan.

"Alhamdulillah, kami bersyukur dan sangat gembira dengan kejayaannya mendapat 9A," katanya.

Sebelum ini tular di media sosial, seorang nenek membaca Surah Yasin di MRSM Lenggong untuk cucunya yang menduduki peperiksaan SPM.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp