Muhamad Akmal (kiri) bersama ibu, Rossima yang sanggup mengorbankan segalanya-galanya termasuklah masa, tenaga bahkan impiannya sendiri demi melihat anaknya berjaya.
Muhamad Akmal (kiri) bersama ibu, Rossima yang sanggup mengorbankan segalanya-galanya termasuklah masa, tenaga bahkan impiannya sendiri demi melihat anaknya berjaya.

'9A ini saya hadiahkan untuk ibu tercinta' - Muhamad Akmal

ASYIKIN ASMINASYIKIN ASMIN
24 Apr 2025 11:22pm

Kesukaran hidup yang dilalui ibunya menjadi pemangkin semangat buat Muhamad Akmal Sufie Hakman, 18, untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong, Beaufort, Sabah, itu memperoleh gred A dalam kesemua sembilan mata pelajaran yang diambilnya.

Menurut Muhamad Akmal, kejayaan tersebut merupakan hadiah istimewa buat ibu, Rossima Samih, 46, yang membesarkan dia dan adiknya seorang diri sejak 10 tahun lalu selepas pemergian arwah bapa mereka akibat jangkitan kencing tikus.

"Saya anak sulung, jadi menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan ibu melihat kejayaan kami adik-beradik. Keputusan ini adalah bukti bahawa segala pengorbanannya tidak sia-sia.

"Sejak saya berusia lapan tahun, ibu memikul dua tanggungjawab sebagai ibu dan bapa. Jadi kejayaan ini untuknya," katanya ketika dihubungi Sinar Bestari pada Khamis.

Berkongsi rutin pembelajarannya, Muhamad Akmal berkata, dia memperuntukkan masa selama dua jam setiap malam untuk ulang kaji dan turut memanfaatkan waktu subuh.

"Tiga subjek yang mencabar buat saya ialah Biologi, Sejarah dan Pendidikan Islam. Saya buat nota kecil dan baca berulang kali supaya lebih mudah hafal," kongsinya.

Ditanya tentang perancangannya selepas ini, Muhamad Akmal berkata, dia berhasrat menyambung pengajian ke peringkat matrikulasi.

Artikel Berkaitan:

"Saya bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran atau kejuruteraan, bergantung kepada rezeki dan kelayakan," jelasnya.

Sementara itu, Rossima meluahkan rasa syukur dan terharu dengan pencapaian anak sulungnya itu.

"Alhamdulillah, segala kesukaran selama ini terbalas. Walaupun hanya bergantung kepada hasil menjual kuih-muih dan mengambil upah menjaga anak orang, saya tetap berusaha memberikan pendidikan terbaik buat anak-anak," katanya penuh sebak.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp