Anak pesawah raih Anugerah Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah
Anak pesawah antara 88 pelajar Sabah yang cemerlang dan menerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah bagi melanjutkan pengajian di peringkat universiti.
Faith Ethel Daimol Ganggot, 18, yang mendapat keputusan 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 berharap, biasiswa diterimanya itu dapat menampung pengajian yang diidam-idamkan selama ini.
Faith yang juga anak sulung berkata, dia yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli, Tuaran, datang dari keluarga kurang berkemampuan di mana bapa hanya bekerja sebagai pesawah manakala ibu suri rumah.
Katanya, dengan pendapatan keluarga kira-kira RM650 sebulan sudah tentu agak membebankan ibu bapa untuk menanggung pengajian di peringkat tinggi.
"Jadi saya tekad belajar bersungguh-sungguh kerana mahu mengubah nasib keluarga dan saya bersyukur kerana diberi peluang mendapat keputusan cemerlang.
"Dengan keputusan yang diperoleh dan tawaran biasiswa ini membolehkan saya melanjutkan pengajian sekali gus dapat membantu mengurangkan beban ibu bapa kerana saya ada tiga lagi adik yang masih bersekolah," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima anugerah itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Selasa.
Diminta berkongsi resepi kejayaannya, Faith berkata, dia lebih mementingkan keikhlasan dalam menimba ilmu selain fokus kepada pembelajaran terutama di sekolah.
"Sebenarnya, tiada juga rahsia tetapi apa yang saya selalu amalkan adalah sentiasa berdoa sebelum belajar, menghormati guru dan fokus dalam kelas.
"Tetapi paling penting mesti ikhlas ketika belajar. Maksudnya, kita belajar bukan semata-mata untuk mendapatkan nama saja tetapi untuk kebaikan diri kita sendiri termasuk membentuk karakter sendiri," katanya.
Faith yang bercita-cita mahu menjadi guru memaklumkan kini sudah menerima tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) peringkat Diploma.
"Jadi saya merancang untuk terus melanjutkan pengajian selepas ini," katanya.