Anak petani jadi 'content creator' untuk biayai pengajian
Alumni SMKN 1 Kademangan, Kabupaten Blitar, Jawa Timur, Indonesia, Alam Sari kini telah berjaya menjadi seorang pencipta kandungan (content creator) untuk beberapa jenama.
Difahamkan, Sari aktif sebagai content creator ketika masih lagi bergelar pelajar di sekolah itu.
Dia yang mengikuti jurusan Perniagaan Dalam Talian dan Pemasaran, pernah mendapat 1.9 juta tontonan menerusi video yang dihasilkan sendiri.
"Dengan kemahiran yang dimiliki sepanjang pembelajaran di sekolah ini, secara tidak langsung ia membantu saya menghasilkan video berkualiti dan bermutu tinggi," katanya seperti dipetik dalam laman rasmi Direktorat Jenderal Pendidikan Vokasi, Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Riset dan Teknologi (Kemendikbud Ristek), Indonesia.
Mengulas lanjut, Sari yang merupakan anak kepada seorang petani berkata, minat menjadi content creator bermula ketika dia diberi tanggungjawab mengurus akaun media sosial sekolah dan aktiviti kokurikulum pelajar.
Menurutnya, mengurus kedua-dua akaun tersebut telah melatih kreativiti dalam menghasilkan kandungan video.
"Sepanjang belajar di sini, saya dapat membina banyak portfolio melalui pembelajaran berasaskan projek dan praktikal.
"Selain itu, saya juga dapat menguasai pelbagai kemahiran seperti penulisan salinan, pemasaran digital dan penyuntingan foto serta video.
"Kemahiran-kemahiran ini memberikan nilai tambah yang penting dalam menghasilkan kandungan kreatif," ujar Sari yang menjadikan kerjaya content creator sebagai cara membiayai pengajiannya.
Sementara itu, kemahiran yang dimiliki oleh Sari membolehkan dia mendapat kerja sambilan iaitu membangunkan video menerusi beberapa akaun dikenali ramai.
Misalnya akaun @ikimercon, Sari telah menghasilkan video yang berjaya mendapat 1.9 juta tontonan dan ratusan ribu tanda suka.
"Biasanya kandungan video yang menjadi viral berfokuskan kepada kehidupan harian terutamanya peristiwa lucu.
"Ia akan menjadi tular jika isinya menarik dan mengikut trend sekali gus meningkatkan peluang video ini mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat,” ujarnya. - Kompas.com