Anak Rita Rudaini bantu MRSM Sungai Besar pecah rekod 4X400 meter bawah 15 tahun
Anak pelakon Rita Rudaini memberi impak besar buat kuartet 4x400 meter (m) Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar apabila memenangi pingat emas dan memperbaharui rekod pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sukan Daerah (MSSD) Sabak Bernam, Selangor, pada Khamis.
Airit Rayyan Rizqin Mohamad Aidil Zafuan bersama Raja Muhammad A'Yyash Raja Mohd Sidqi, Ammar Haziq Azlan Abdul Aziz dan Ilham Muqhriez Nurul Hisyam mencatatkan larian terpantas dengan masa tiga minit 58.47 saat.
Kejayaan itu sekali gus meleburkan rekod selama 17 tahun milik Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yoke Kuan, Sekinchan dengan catatan empat minit 97 saat bagi kategori lelaki acara bawah 15 tahun lelaki.
Terdahulu, Airit Rayyan unggul apabila memecah rekod 100 dan 200m lelaki bawah 15 tahun dalam kejohanan sama.
Airit Rayyan memecah rekod 100 m selepas mencatat masa 11:44 saat yang sebelum ini disandang, Norazizi Sobari dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ungku Aziz sejak 2004 dengan catatan 11.58 saat.
Kejayaan berganda dicipta pula oleh Airit Rayyan dalam acara 200m apabila memecah rekod milik Lucas Theng Chen Yi dari SMJK Yoke Kuan.
Airit Rayyan mencatat masa 23:81 saat berbanding rekod lama 24:00 saat milik Chen Yi.
Dalam pada itu, beberapa acara lain turut berjaya memecah rekod baharu bagi kejohanan tersebut
Rakan kepada Airit turut mencipta sejarah apabila dinobat sebagai olahragawan bawah 15 tahun selepas berjaya memecah rekod selama 29 tahun bagi acara 1,500m.
Raja Muhammad meraih catatan 5 minit 28 saat, memecah rekod yang dicipta pada 1999 oleh M Murali yang mencatat 5 minit 01.62 saat.
Turut mencipta rekod bawah 18 tahun lelaki bagi acara 100 m apabila pelari dari SMK Ungku Aziz, Muhamad Adam Ishami Azmi meraih catatan 11.09 saat sekali gus memperbaharui rekod lama 11.19 sejak 2015.
Bagi acara 1,500 m kategori lelaki 18 tahun, S Rivenesh dari SMK Sungai Besar mencatat rekod baharu 4 minit 26.95 saat mengatasi rekod lama milik Muhammad Hafiz Aidi Rosni 4 minit 38.50 saat.