Bangsawan Hikayat Seribu Satu Malam Aladdin Sebuah Kisah SSeMKL memukau!

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
21 Feb 2023 04:40pm
A
A
A

Teater muzikal bangsawan Hikayat Seribu Satu Malam Aladdin Sebuah Kisah (H1001ASK) pementasan Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur (SSeMKL) memukau audiens.

Pementasan yang bermula pada 13 hingga 16 Februari lalu dan diadakan di auditorium SSeMKL, Kuala Lumpur itu merupakan kerjasama bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SSeMKL menterjemahkan bakat dan kreativiti pelajar-pelajar seni tari, visual, muzik serta teater.

Garapan karya H1001ASK membuatkan audiens terpaku di tempat duduk menghayati setiap babak yang cukup menghiburkan dipertontonkan kepada mereka.

Peneraju Aladdin (dua dari kanan) bersama Jin Biru dan Abu pada pementasan H1001ASK.
Peneraju Aladdin (dua dari kanan) bersama Jin Biru dan Abu pada pementasan H1001ASK.

Pemilihan audio, pencahayaan dan reka bentuk set yang menarik turut memberi 'nyawa' kepada karya yang dipentaskan selama hampir tiga jam itu.

Pengarah Produksinya, Mohammad Fairul Rashid berkata, pemilihan karya pementasan tersebut adalah untuk mengangkat keseluruhan nilai seni yang terdapat di sekolah terbabit.

Artikel Berkaitan:

“Saya melihat teater bangsawan boleh memenuhi kriteria segala aspek persembahan kerana merangkumi muzik, menari, berlakon, visual malah rekaan set.

“Alhamdulillah, lebih membanggakan apabila pelajar-pelajar berjaya menterjemahkan setiap latihan yang dilakukan dengan persembahan yang menarik sehingga mendapat tepukan gemuruh daripada penonton,” katanya ketika ditemui selepas pementasan H1001ASK di auditorium SSeMKL, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pelajar-pelajar berjaya menterjemahkan setiap latihan yang dilakukan dengan persembahan yang menarik.
Pelajar-pelajar berjaya menterjemahkan setiap latihan yang dilakukan dengan persembahan yang menarik.

Hadir sama, Timbalan Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhamad Nasir Hamzah; Pengarah Muzik Radio Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Mokhzani Ismail; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Entertaintment, Datuk Norman Abdul Halim; Pengarah Bahagian Inovasi, Jaringan Strategik dan Pemasaran Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Ramlan Mohd Iman; Profesor Emeritus Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh; Yang Dipertua (YDP) PIBG SSeMKL, Profesor Madya Dr Sahar Sa'di Hashim dan Pengetua SSeMKL, Suriyani Ab Ghani.

Mohammad Fairul yang merupakan Ketua Bidang Seni Teater SSeMKL memberitahu, pementasan tersebut melibatkan seramai 126 tenaga kerja merangkumi pelajar, guru dan jurulatih.

Begitupun, dia menjelaskan, para guru dan jurulatih hanya memberi bimbingan tetapi ia dilaksanakan oleh pelajar-pelajar Tingkatan Satu hingga Empat kerana ingin menonjolkan kreativiti mereka.

Mohammad Fairul
Mohammad Fairul

“Bagi olahan skrip pula, saya mengambil masa kira-kira tiga bulan kerana melibatkan tiga latar berbeza yang saling berkaitan antara satu sama lain.

“Sesi latihan sangat singkat iaitu dua bulan sahaja berikutan terdapat beberapa kekangan terutama apabila pelajar-pelajar terlibat dalam pelbagai program seni termasuk Festival Mutiara Seni sekali gus mengehadkan masa latihan,” ujarnya.

Tuturnya lagi, pementasan berkenaan turut menggunakan teknologi skrin diod pemancar cahaya (LED) untuk memberi impak kepada persembahan malah ia merupakan hasil karya visual pelajar.

Suriyani
Suriyani

Sementara itu, Suriyani berkata, ibu bapa tertunggu-tunggu hasil produksi kreativiti pelajar-pelajar kerana selama dua tahun pementasan tidak dapat diadakan berikutan pandemik Covid-19.

“Pementasan berkenaan merupakan platform terbaik untuk menonjolkan kemenjadian pelajar sejajar hasrat Kementerian Pendidikan (KPM) merealisasikan murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera.

“SSeMKL akan terus menghasilkan teater bangsawan setiap tahun tetapi dengan pelbagai hikayat berunsur klasik untuk tontonan ibu bapa dan khalayak,” katanya.

Beliau menambah, sekolah berterima kasih kerana Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), KPM telah memberi sokongan penuh terhadap penganjuran pementasan teater bangsawan itu.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok