Selepas mengharungi pelbagai pancaroba, akhirnya Anuar menggalas jawatan tinggi di Petronas.
Selepas mengharungi pelbagai pancaroba, akhirnya Anuar menggalas jawatan tinggi di Petronas.

Kisah anak kampung ubah nasib jadi inspirasi

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
05 Feb 2024 03:30pm

Perjalanan hidup Pengurus Besar Kanan Petronas Carigali Sdn Bhd Sarawak Asset, Anuar Ismail dalam mengubah nasib keluarganya wajar dijadikan inspirasi buat anak-anak muda masa kini.

Kesusahan masa kecil hingga terpaksa menjala udang dan ikan demi kelangsungan hidup, menjadi pembakar semangat untuk dirinya belajar bersungguh-sungguh di peringkat sekolah dan universiti.

Kisah waktu kanak-kanak Anuar hingga berjaya menjawat jawatan tinggi di Petronas diceritakan Cikgu Emmet di laman Facebook, pada Isnin.

“Terbaik Tuan Haji Anuar Ismail. Semoga kisah tuan haji akan menjadi motivasi buat anak-anak yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” tulis Cikgu Emmet.

Ikuti perjalanan dan pahit maung dilalui Anuar seperti diceritakan Cikgu Emmet di media sosial.

*****

Hanya tersalah sebut perkataan SALE menjadi SA-LAY... semasa di sekolah rendah, beliau terus berazam untuk memperbaiki dan menguasai Bahasa Inggeris sekali gus berjaya merentas batas kecemerlangan dan meneruskan pengajian hingga ke menua ribai (negara barat).

Tuan Haji Anuar Ismail, Senior General Manager Petronas merupakan anak kampung Hulu Sri Aman, Sri Aman, Sarawak yang pernah bergelumang dengan lumpur menangguk udang di Sungai Batang Lupar dan mengikut ayahnya menjala udang dan ikan demi kelangsungan hidup.

Artikel Berkaitan:

Malah di zaman kanak-kanaknya turut mengisi masa mengutip dan menjual botol bagi mencukupkan belanja sekolah.

Bayangkan betapa bangganya beliau dapat untung RM5 hasil menjual botol dan wang itu digunakan untuk membantu belanja keluarganya.

Kesempitan hidup tidak menjadi penghalang untuk dia menyerah kalah di sekolah lantas menjadikan ayahnya sebagai idola yang kuat bekerja demi menanggung lapan anak.

Kemudian, dia terus belajar untuk lulus cemerlang dalam LCE di Sekolam Menengah Kebangsaan (SMK) ST Luke hingga berjaya menyambung pelajaran di Kolej Tuanku Haji Bujang Miri.

Kegemilangannya tidak tamat di situ sahaja kerana beliau terus mengambil peluang tawaran biasiswa untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah kejuruteraan elektrik di Case Western University di Ohio, USA.

Kecintaan terhadap dunia Matematik dan Sains bukan sekadar mekar di hatinya tetapi turut menyebar ke jiwa anak-anak muda sewaktu menjadi guru sementara di SMK Melugu.

Pada tahun 1991, beliau memulakan perjalanan karier di Petronas Cari gali dan menjawat beberapa jawatan penting serta turut sama mengembangkan sayap pelaburan Petronas ke negara Afrika hingga menjadi Petronas Country Chairman di Sudan Selatan pada 2019 hingga 2021.

Siapa sangka ‘anak kampung’ yang sering memburu senik di parit untuk dijadikan umpan udang galah di Sungai Batang Lupar sambil mengunyah buah pedada cicah garam, kini menjadi salah seorang peneraju Syarikat GLC konglomerat petroleum negara yang terkenal di dunia iaitu Petronas.

Tuan Haji Anuar Ismail wajar dijadikan suri teladan dan idola anak-anak muda Sarawak khususnya dan Malaysia amnya kerana beliau membuktikan miskin dan susah tidak harus diwarisi tetapi usaha dan rajin dapat mengubah hidup lebih gemilang.

Ingatlah adik-adik dan anak muda...berjaya atau gagal adalah ditentukan oleh usaha dan kesungguhan kita.

Terbaik Tuan Haji Anuar Ismail. Semoga kisah tuan haji akan menjadi motivasi buat anak-anak yang menduduki peperiksaan SPM dan STPM.

Sumber: Facebook Cikgu Emmet

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp