Fadhlina memeluk salah seorang pelajar SMK (M) Convent yang meraih keputusan cemerlang dalam SPM 2024.
Fadhlina memeluk salah seorang pelajar SMK (M) Convent yang meraih keputusan cemerlang dalam SPM 2024.

Subjek lulus SPM 2024 meningkat, KPM fokus segmen intervensi untuk masa depan

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
24 Apr 2025 05:15pm

Sebagai langkah proaktif memperkukuh kualiti pendidikan negara, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini memberi fokus terhadap beberapa segmen penting yang dikenal pasti menyumbang kepada peningkatan prestasi pelajar.

Ia merupakan kesinambungan usaha berterusan bagi menambah baik keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada masa akan datang.

Ini kerana keputusan SPM 2024 menunjukkan peningkatan gred E bagi setiap mata pelajaran

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, antara fokus utama ialah meningkatkan kadar kehadiran calon menduduki peperiksaan serta merapatkan jurang pencapaian antara pelajar bandar dan luar bandar agar tiada golongan yang tercicir daripada arus kecemerlangan pendidikan.

“Memandangkan apabila ada peningkatan maknanya kualiti pendidikan kita bertambah tinggi. Kita harap peningkatan ini maknanya memberikan semangatlah kepada guru-guru untuk terus menguasai dan memberikan tumpuan kepada kualiti pengajaran dan semasa dalam kelas.

“Ia membantu kita untuk terus memberikan tumpuan sebagaimana yang saya sebut tadi segmen-segmen yang perlu kita baiki berdasarkan keputusan pada hari ini.

“Jadi, secara keseluruhannya kita akan terus mengambil langkah-langkah penting untuk menambah baik keputusan ini,” katanya semasa membuat tinjauan sempena penyerahan keputusan SPM 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (Methodist) Convent Kajang pada Khamis.

Fadhlina turut meluahkan keyakinan bahawa segmen-segmen yang dilaksanakan itu berada dalam radar KPM untuk diambil tindakan.

Artikel Berkaitan:

“Kehadiran antara yang saya fikir cukup signifikan kerana intervensi yang kita lakukan telah dapat mengurangkan (ketidakhadiran) sedikit sebanyak.

“Kemudian yang terkait rapat dengan jurang luar bandar dan bandar. Pada tahun lalu, kita juga mengambil langkah intervensi bagi memastikan kelulusan terus meningkat untuk anak-anak ini layak mendapat sijil membabitkan dua subjek iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah,” katanya.

Selain berasa bangga akan keputusan yang diumumkan hari ini, Fadhlina meluahkan kegembiraan apabila anaknya turut memperoleh 8A dalam SPM 2024.

Sementara itu, apabila ditanya mengenai tawaran bahasa elektif di sekolah dengan memasukkan beberapa bahasa ASEAN, Fadhlina berkata, tidak timbul mengetepikan bahasa Tamil dan Mandarin.

“Bahasa asing ini sudah pun berada di peringkat sekolah secara elektif, ada bahasa Jerman, Perancis dan pelbagai bahasa lagi.

“Jadi, tidak timbul soal untuk kita mengetepikan mana-mana bahasa, malah di sekolah vernakular memang bahasa Tamil dan Mandarin menjadi bahasa utama mereka selain daripada mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Jadi, saya tidak rasa ada apa-apa isu kerana bahasa yang kita cadangkan ini hanya sebagai elektif seperti bahasa lain yang sudah pun kita perkenalkan di peringkat sekolah,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp