Bapa dan adik arwah menunjukkan gambar arwah Fadzri Aiman.
Bapa dan adik arwah menunjukkan gambar arwah Fadzri Aiman.

Bukan diploma tetapi jenazah anak yang tiba

05 Apr 2024 03:03pm

“Papa, lepas raya papa akan dapat diploma. Nanti lepas raya abang bagi sijil diploma dekat papa.”

Itulah antara kata-kata terakhir yang dilontarkan oleh penuntut Kolej Vokasional Bukit Katil, Melaka sebelum maut dalam kemalangan pada Khamis.

Allahyarham Muhammad Fadzri Aiman, 20, terlibat dalam satu kemalangan pada jam 10.30 malam di kilometer 121.5 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mengambil skrol diploma jurusan pemesinan perindustrian di kolejnya.

Menurut bapanya, Mohd Fadzli Ramli, 48, sebelum berangkat pulang ke rumahnya di Johor, dia sempat menghubungi Muhammad Fadzri dan ketika itulah anak kedua daripada tujuh beradik itu berjanji mahu menghadiahkan diploma yang diraihnya.

“Saya tunggu kepulangan dia hingga terlelap, apabila terjaga sekitar jam 12 tengah malam, mendapat berita daripada adik arwah mengatakan abang sudah meninggal.

“Walaupun hati sedih, tetapi saya reda kerana arwah meninggal di bulan Ramadan tepat malam Jumaat 10 malam terakhir. Semua ini saya serah kepada ALLAH,” katanya.

Adik arwah, Muhammad Fadzmi Aiman berkata, arwah akan memulakan kerjayanya di Gelang Patah, Johor pada 24 April ini selepas lulus temuduga.

“Dia beria-ria nak bekerja sambil belajar namun semua ini hanya tinggal kenangan buat kami selama-lamanya,” ujarnya.

Menurut portal tempatan, kemalangan membabitkan Muhammad Fadzri itu berlaku melibatkan tiga kenderaan iaitu dua kereta dan sebuah motosikal yang ditunggang mangsa.

Artikel Berkaitan:


Kemalangan tercetus apabila mangsa menunggang motosikal di lorong kiri bergesel dengan sebuah kereta yang sedang memperlahankan kelajuan kerana mahu menukar lorong kiri.

"Kereta terbabit waktu itu mengalami masalah teknikal di bahagian enjin menyebabkan pemandu menukar lalu. Selepas bergesel, mangsa terjatuh di lorong kanan lalu dirempuh sebuah lagi kereta dari arah sama.

"Mangsa parah dan menerima rawatan di HSNI, beberapa kemudian, mangsa disahkan meninggal dunia akibat kehilangan darah banyak, manakala kedua-dua pemandu kereta tidak cedera.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai mempunyai maklumat diminta berhubung dengan mana-mana balai polis berhampiran atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau melalui Hotline Polis IPD Batu Pahat di talian 07-4343999." katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp