Cabaran getir hadapi SPM dan Piala Dunia Kriket serentak - Nuranis
Pemain kriket wanita negara Nuranis Syahira Abdullah, mengakui berdepan situasi sukar kerana perlu menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pada masa yang sama menggalas cabaran negara dalam Piala Dunia T20 Wanita Bawah 19 Tahun (B-19).
Atlet kelahiran Perak itu berkata, bukan mudah baginya untuk memberi sepenuh tumpuan kepada perlawanan pada waktu pagi Khamis ini, sebelum perlu memberi fokus untuk menjawab peperiksaan penting itu pada sebelah petang.
Bagaimanapun, Nuranis bersyukur kerana mendapat sokongan penuh ahli pasukan dan jurulatih serta bantuan daripada guru yang memudahkannya dan tujuh lagi pemain muda negara yang sedang berdepan dua cabaran itu.
"Cabaran besar untuk kami adalah membahagikan masa antara belajar dan sukan, yang sememangnya tidak mudah. Tetapi kami tetap cuba mencuri masa untuk belajar dan bila dalam perlawanan, kita berikan sepenuh fokus dan serius dengan komitmen itu.
"Apabila tamat perlawanan, kami memberi tumpuan kepada SPM pula. Rakan-rakan, jurulatih dan guru sentiasa bertanya, mengambil berat serta memberi bantuan setiap kali kami perlukan mereka supaya kami boleh melakukan yang terbaik," katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.
Pada Khamis ini, Nuranis dan pasukan akan berdepan aksi terakhir peringkat Kumpulan A menentang West Indies, selain turut berdepan juara bertahan India pada Selasa.
Pada Ahad, Malaysia memulakan kempen saingan Piala Dunia Kriket T20 Wanita B-19 2025 dengan langkah kiri selepas dibelasah Sri Lanka pada aksi pertama Kumpulan A di Bayuemas Cricket Oval di sini. - Bernama