Cipta memori indah di Sekolah Berasrama Penuh
Mac lalu, berlangsungnya sesi pendaftaran pelajar Tingkatan Satu ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) seluruh Malaysia.
Untuk pengetahuan semua, hidup di asrama memberi erti kemanisan yang tidak dapat dijual beli oleh semua individu bergelar pelajar.
Pasti seronokkan mendapat satu pengalaman penuh makna dan berharga ini.
Penerapan nilai murni, jadual padat, penerapan disiplin dan akhlak terpuji membawa kepada satu semangat dan sepakat dalam kalangan warga sekolah.
Kata pepatah Melayu, muafakat membawa berkat. Begitu juga halnya dengan keakraban dan silaturahim dapat disemai melalui kerjasama persis peribahasa Melayu iaitu bagaikan isi dengan kuku.
Selain itu juga, hal-hal tentang pendidikan dan pembentukan sahsiah serta penyesuaian diri hidup sebagai pelajar asrama dapat diterapkan sepanjang pelajar bergelar ‘budak asrama’.
Dalam zaman yang serba canggih kini, penggunaan telefon awam di sekolah amat penting sebagai pengganti diri.
Telefon awam sudah pastinya menjadi satu-satunya alat untuk berhubung bersama orang tersayang. Sama-sama dapat melepaskan kerinduan anak-anak dengan keluarga masing-masing. Baru mereka sedar, yang dekat disayangi yang jauh dirindui.
Hakikatnya, sebagai pelajar asrama, banyak perkara yang dikongsi mengenai perjalanan hidup.
Ada seribu satu kisah suka dan duka. Namun begitu, perlu diingatkan bahawa tangisan dan rengekan untuk tidak tinggal di asrama adalah umpama ‘nyanyian harian’ buat ibu bapa masing-masing. Maklum sahajalah selama ini anak-anak hidup berkepit di bawah ketiak ibu bapa semata-mata.
Tetapi kali ini, secara prinsipnya mereka harus berdikari. Mengamalkan gaya hidup yang lebih baik dan penuh toleransi bersama rakan-rakan.
Perlu dipegang dalam prinsip hidup adalah untuk menjadi orang yang berjaya, anak-anak perlu bersabar dan segera menyesuaikan diri dengan kehidupan dan budaya di asrama yang tersusun dan konsisten.
Bak kata orang tua-tua, masuk kandang kambing mengembek masuk kandang lembu menguak. Pandai-pandailah bawa diri sepanjang tempoh pencarian ilmu buat bekalan masa hadapan ini.
Kebaikan tinggal di SBP
Di sini saya kongsi kebaikan tinggal di asrama yang memberi beberapa manfaat seperti berikut:
1) Menjadi anak-anak yang berdikari
Secara asas, apabila di rumah kebiasaannya segala urusan kendiri disediakan sepenuhnya oleh ibu bapa terutama membasuh dan menggosok pakaian. Dari sebesar-besar perkara hingga sekecil-kecil perkara. Manakala, sekolah asrama membolehkan seseorang pelajar untuk menjadi lebih berdikari. Pelajar akan belajar mengurus masa untuk rehat, belajar, membasuh pakaian, menggosok pakaian, tidur dan sebagainya. Mereka juga akan belajar menguruskan wang saku supaya wang tersebut mencukupi sehingga akhir penggal persekolahan. Ini akan membantu pelajar tersebut untuk lebih bertanggungjawab, berjimat-cermat, pandai mengurus wang dan sebagainya apabila dewasa kelak.
2) Lebih masa untuk kokurikulum
Apabila seseorang tinggal di asrama, terdapat pelbagai aktiviti ko-kurikulum iaitu bersukan, berkebun, mengemas dan aktiviti lain yang dirancang pihak sekolah. Terdapat sesetengah sekolah asrama menjalankan aktiviti yang membawa manfaat kepada masyarakat. Aktiviti ko-kurikulum ini membantu melahirkan pelajar yang seimbang dan bukannya hanya tertumpu kepada buku semata-mata. Jadi bakat anak-anak dapat digilap melalui kebolehan masing-masing dalam pelbagai bidang.
3) Lebih masa untuk belajar
Di sekolah asrama juga, terdapat waktu yang telah dikhaskan untuk belajar di waktu petang dan malam. Pelajar mempunyai sekurang-kurangnya tiga jam sehari untuk belajar. Ini memberi mereka masa yang lebih untuk mengulang kaji dan melakukan kerja-kerja sekolah serta belajar. Waktu di hujung minggu juga boleh digunakan untuk belajar.
4) Lebih masa untuk merujuk kepada rakan sekelas dan guru-guru bagi mendapatkan maklumat dan nasihat
Pelajar di sekolah asrama dapat berbincang dengan rakan sekelas pada waktu belajar ataupun semasa berada di asrama. Pelajar-pelajar juga boleh berbincang dan merujuk kepada guru-guru mereka di asrama atau pun di kelas masing-masing.
Berikut adalah beberapa tip untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di SBP
1) Menjalinkan hubungan persahabatan yang baik dan mendalam
SBP memberi anda peluang yang baik untuk menjalin persahabatan yang rapat dengan rakan-rakan sekolah kerana anda mempunyai lebih masa untuk mengenali satu sama lain sewaktu dan selepas kelas. Kebiasaannya, persahabatan ini akan berpanjangan sehingga anda memasuki alam dewasa.
2) Belajarlah dengan bersungguh-sungguh
SBP memberi anda cukup masa untuk menjadi pelajar yang cemerlang. Ambil dan gunalah peluang yang diberi sebaik-baiknya. Sila rancang dan gunakan masa anda dengan mengulang kaji pelajaran, berekreasi dan berehat. Dalam hal ini mereka lebih menghargai masa kerana masa itu emas.
Jadi, belajarlah secara berkumpulan dengan rakan-rakan sekelas dan boleh merujuk kepada guru atau pelajar senior apabila ada sebarang kemusykilan, pertolongan ataupun bantuan.
3) Ambil bahagian dalam aktiviti ko-kurikulum
Terdapat pelbagai program ko-kurikulum yang ditawarkan di SBP. Antaranya aktiviti sukan, kelab dan persatuan. Selain itu juga, pelajar akan diberi peluang memilih aktiviti kokurikulum supaya sesuai dengan minat dan kebolehan.
Jadi dengan minat itu membuatkan mereka mampu uruskan masa dengan sebaik-baiknya. Elakkan daripada melibatkan diri dengan terlalu banyak aktiviti kokurikulum. Ini akan mengambil terlalu banyak masa anda dan boleh menjejaskan masa belajar. Jangan bersikap yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran. Pelajar juga yang akan rugi.
Kesimpulannya, kehidupan di SBP memberi lebih banyak manfaat jika seseorang itu sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dalam mengharungi kehidupan.
Anda akan menjadi seorang pelajar yang lebih berdisiplin, mempunyai jati diri yang tinggi serta berjaya menyesuaikan diri hidup bermasyarakat.
Anak-anak akan lebih belajar menghargai hubungan dan kasih sayang serta mengamalkan nilai murni yang mereka telah pelajari sekarang untuk bekalan di masa hadapan.
Maklumat Penulis
Guru Bahasa Arab, Sekolah Kebangsaan Pasukan Polis Hutan, Ulu Kinta, Perak, Ustaz Quszaini Abd Manan
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my