DIY Made Simple 2024 kembali dibuka
Berita baik kepada semua pelajar dan guru sekolah menengah seluruh negara kerana Kumpulan MR D/I/Y (M) Bhd (MR D.I.Y) akan menganjurkan Pertandingan DIY Made Simple edisi tahun 2024 buat kali ke-8.
Pertandingan anjuran bersama Pusat Penglibatan Komuniti Universiti Malaya (UMCares) dan Fakulti Alam Bina itu mendapat sokongan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Membawa tema tahun ini Wonder Waste Creations: Paper & Plastic Edition, adalah untuk menyeru para pelajar mencari jalan untuk menambah baik kemudahan sekolah mereka dengan menggabungkan kaedah untuk mengguna semula, mengurangkan dan mengitar semula bahan buangan khususnya menggunakan kertas dan plastik.
Pertandingan ini secara tidak langsung memperkukuhkan sokongan kepada inisiatif kerajaan untuk meningkatkan kadar kitar semula kepada 40 peratus menjelang 2025 seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12).
Sekolah yang berminat mempunyai masa sehingga 9 Mei 2024 untuk menghantar penyertaan mereka yang akan dinilai oleh wakil dari UM, MR D.I.Y., dan KPM.
Sekolah yang disenarai pendek akan mengusahakan projek mereka bersama pensyarah dari Fakulti Alam Bina UM untuk mengubah idea mereka menjadi realiti antara 5 Jun - 31 Julai 2024.
Fasa penilaian pula akan berlangsung pada Ogos 2024 di mana pelajar sekolah akan membentangkan projek yang telah dimuktamadkan kepada hakim dan pemenang akan diumumkan dalam peringkat akhir pada bulan yang sama.
Untuk mendaftar pertandingan, layari https://myumcares.um.edu.my/diy-made-simple-2023-repurposing-waste-countering-cost-of-living.html.
Dan untuk maklumat lanjut layari laman web www.mrdiy.com, dan media sosial Facebook, Instagram, dan TikTok.