Aelisya Nadira (dua dari kanan) bersama rakan-rakan yang turut menerima anugerah pada Majlis Anugerah Bestari 2023 di Anjung Perdana SMK Alam Megah 2 Sabtu lalu.
Aelisya Nadira (dua dari kanan) bersama rakan-rakan yang turut menerima anugerah pada Majlis Anugerah Bestari 2023 di Anjung Perdana SMK Alam Megah 2 Sabtu lalu.

Genggam 2 anugerah tokoh, Aelisya Nadira buat warga maya kagum dengan pencapaian diraih!

ROSHLAWATY MD RAIEH
03 Aug 2023 05:09pm
A
A
A

Pencapaian akademik dan kokurikulum bekas pelajar Tingkatan Lima, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alam Megah 2, Shah Alam, Selangor, Aelisya Nadira Azrin begitu membanggakan sekali.

Masakan tidak, pelbagai anugerah dan pengiktirafan telah diraih oleh anak kelahiran Putrajaya sehingga menjadi sumber rujukan rakan-rakan di sekolah.

Terbaharu, Aelisya Nadira baru sahaja merangkul dua anugerah tertinggi di Majlis Anugerah Bestari 2023 yang diadakan di Anjung Perdana SMK Alam Megah 2 pada Sabtu.

Dua anugerah tertinggi itu adalah Tokoh Kurikulum 2022 (Aliran Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) dan Tokoh Pelajar Tahun 2022.

Ketika dihubungi Sinar Bestari, Aelisya Nadira berkata, pengiktirafan tersebut benar-benar memeranjatkan dirinya.

“Saya bukanlah sehebat dan sebijak seperti yang diperkatakan ramai sebaliknya diri ini hanyalah pelajar ‘biasa-biasa’ yang mahukan kejayaan dalam bidang akademik dan kokurikulum.

“Bagaimanapun saya bersyukur kerana dikelilingi insan-insan yang sentiasa menyokong dan memberi tunjuk ajar dalam pelajaran dan juga dunia sukan...terima kasih banyak-banyak,” ujar Aelisya Nadira yang turut meraih keputusan cemerlang 3A+ dan 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 dan kini sedang mengikuti program Asasi Pintar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pengurusan Sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana, Mohamad Fahim Mohamed Jamli berkata, kejayaan dan kehebatan pelajar SMK Alam Megah 2 adalah lahir daripada didikan ibu bapa dan pendidik yang menjadi denyut nadi dan tulang belakang kepada mereka.

“Cendekiawan ada mengatakan tiada kejayaan semanis madu tanpa usaha sepahit hempedu.

“Saya percaya pelbagai usaha telah digembleng untuk melahirkan anak-anak permata yang berkilauan di sekolah ini dan diharapkan akan terus berkilauan di pentas dunia.

“Justeru, saya menyeru para ibu bapa agar sentiasa memberikan sokongan moral mahupun material kepada pihak sekolah bagi melahirkan anak-anak permata yang cemerlang dalam pelajaran serta mempunyai adab, sahsiah dan akhlak yang terpuji,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Bestari 2023 baru-baru ini.

Hadir sama, Pengetua, Siti Dewi Marsitah Ismail; Penolong Kanan Pentadbiran, Mohd Nasran Bakar; Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Rokiah Hussein; Penolong Kanan Kokurikulum, Rodiah Sanwikarto dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), TS Dr Arba’ain Jaafar.

No Image Caption

Dalam pada itu, Cikgu Siti Dewi Marsitah berkata, profesion keguruan bukan mengajar ilmu akademik semata-mata tetapi juga melangkaui dimensi lain bagi melahirkan dan memperkembang potensi individu yang seimbang dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

“Guru memegang amanah besar bagi melahirkan generasi masa hadapan yang mempunyai kecemerlangan ilmu, keluhuran adab sopan, kemantapan integriti dan sahsiah diri yang unggul.

“Kerana itu usaha gigih dan keprihatinan para guru menentukan kejayaan anak murid. Bak kata pepatah, apa yang ditanam, itulah yang dituai. Andai jagung yang disemai, mana mungkin padi yang dituai,” ujarnya pada majlis berkenaan.

No Image Caption

INFO

Pencapaian Aelisya Nadira sepanjang bergelar pelajar SMK Alam Megah 2

Anugerah Pelajar Cemerlang setiap tahun bermula 2018-2022

Ketua Pasukan Pandu Puteri Remaja

Ketua Pasukan Pandu Puteri Renjer

Setiausaha Kehormat Majlis Pandu Puteri Peringkat Daerah Petaling Perdana

Tempat Ketiga pada Pertandingan Kuiz - Cabaran Bakat Pandu Puteri 2019

Johan dalam Kuiz Program Semarak Suci Rohani Pandu Puteri Peringkat Negeri Selangor 2022

Johan Pertandingan Kawad Kaki Sekolah 2022

Menyertai kuiz Cabaran Minda Sihat Peringkat Kebangsaan 2021

Penyertaan dalam Johor Scouts International Quran Festival 2022

Mengikuti Kursus Asas Pertolongan Cemas Peringkat Kebangsaan 2022

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok