Cikgu Mohd Afiffi (belakang, dua dari kiri) bersama kumpulan guru yang memiliki kepakaran tersendiri dalam bidang masing-masing.
Cikgu Mohd Afiffi (belakang, dua dari kiri) bersama kumpulan guru yang memiliki kepakaran tersendiri dalam bidang masing-masing.

Guru Cemerlang Fizik saran pendidik cipta inovasi biarpun kecil dan ringkas!

ROSHLAWATY MD RAIEH
24 Feb 2023 09:42am
A
A
A

Proses menghasilkan sebuah inovasi bukan perkara mudah. Terdapat banyak perkara yang perlu difikirkan sebelum seseorang itu mencipta inovasi baharu dan diterima ramai.

Bagi Guru Cemerlang Fizik, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (Perempuan) Sultan Abu Bakar Muar, Johor, Cikgu Mohd Afiffi Baharuddin, dirinya mempunyai pendapat tersendiri berkenaan inovasi.

Katanya, suatu inovasi tidak semestinya perlu hebat dan canggih. Cukuplah sekadar membantu menyelesaikan masalah dan mudah untuk disediakan sekiranya diperlukan.

Menurut Cikgu Mohd Afiffi, idea baharu menghasilkan inovasi sangat penting dalam memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) sentiasa segar dan pelbagai.

"Bagi saya, seseorang guru tidak memerlukan tempoh yang lama untuk menyiapkan sesebuah inovasi. Jika sudah ada idea terus kembangkan.

"Kos pula mungkin boleh diminimumkan dan menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati kerana inovasi yang bagus tidak memerlukan kos tinggi," ujarnya kepada Sinar Bestari.

Sambung beliau lagi, setiap guru harus mempunyai kebolehan untuk berinovasi dan berkreativiti bagi menyelesaikan masalah dalam PdP.

“Sentiasalah berkongsi dan menyebarkan idea serta inovasi anda walaupun ia kecil dan mudah.

Artikel Berkaitan:

“Biarpun idea tersebut nampak senang dan ringkas bagi sesetengah guru, namun bagi cikgu-cikgu lain mereka melihat inilah jawapan yang dicari-cari untuk menyelesaikan masalah ketika PdP berlangsung,” ujar anak ketiga daripada empat beradik ini.

Berkongsi tentang teknik mengajar Fizik di dalam kelas pula, Cikgu Mohd Afiffi berkata, dia melantik sekumpulan pelajar untuk menjadi mentor dalam kumpulan kecil.

“Mereka digelar Guru Muda Pakar (GMP) yang bertindak sebagai pengganti guru ketika membentangkan tugasan dan menerangkan konsep fizik kepada ahli kumpulan.

“Selesai pembentangan, GMP ini akan membantu rakan menjawab soalan dan menguasai topik pembelajaran.

“Guru pula bertindak memantau aktiviti pelajar dan sebagai pemudah cara kepada GMP sekiranya ada perkara yang perlu dirujuk,” akhiri guru yang berasal dari Ipoh, Perak, ini.

INFO

Senarai inovasi dihasilkan Cikgu Mohd Afiffi.

1) Kit Vernier Diy iaitu inovasi yang memudahkan pelajar membina sendiri angkup vernier (alat pengukur yang digunakan untuk mengukur panjang) pada skala lebih besar dan boleh digunakan seperti angkup vernier sebenar.

2) Inovasikan sedikit teknik 'mirroring' menggunakan telefon pintar bagi memaparkan imej mikroskop pada skrin besar agar pelajar dapat menggunakan mikroskop seperti biasa.

3) Membina sendiri 'visualiser' ringkas daripada web kamera dan pemegang telefon bimbit.

4) Inovasi White Board Diy yang diambil daripada kadbod keras kemudiannya dibalut dengan plastik.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok