Nurul Aziyana menghadiahkan kejayaan keputusan 9A SPM 2023 buat ibunya Norizan yang menjadi tulang belakang setelah kematian bapa.
Nurul Aziyana menghadiahkan kejayaan keputusan 9A SPM 2023 buat ibunya Norizan yang menjadi tulang belakang setelah kematian bapa.

'Ibu tulang belakang kejayaan selepas ayah tiada'

NURHIDAYAH HAIROMNURHIDAYAH HAIROM
24 Jul 2024 10:29am
A
A
A

Pelajar terbaik dengan keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Sepuluh, Manjung, Perak, Nurul Aziyana Darus Anuwar menghadiahkan kejayaan yang dicapai kepada ibunya, Norizan Omar yang selama ini memberikan sokongan selepas kehilangan bapa tahun lalu akibat barah pangkal hidung.

Norizan yang berkongsi kegembiraan itu berharap kejayaan tersebut menjadi pemangkin untuk Nurul Aziyana terus cemerlang masa hadapan.

Kedua-dua mereka merupakan antara yang diraikan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama Institut Pendidikan Berterusan & Pengajian Profesional (iCEPS), Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Seramai 95 pelajar program empowerNCER Akademik 2023 diraikan bersama keluarga masing-masing dalam dua Majlis Apresiasi Pelajar EmpowerNCER Akademik 2023 yang dilaksanakan secara berasingan iaitu di Pulau Pinang pada 11 Julai dan di Taiping, Perak 13 Julai lalu.

Majlis berkenaan bukan sahaja mengiktiraf kejayaan pelajar tetapi juga bertujuan memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.

Melalui sokongan berterusan daripada pihak sekolah, agensi kerajaan dan organisasi seperti NCIA, masa depan pendidikan di Malaysia dijangka terus berkembang dan maju.

Program empowerNCER Akademik merupakan inisiatif yang menyediakan sokongan akademik dan pembangunan sahsiah diri kepada pelajar daripada keluarga dalam kategori B40.

Hasilnya, keputusan SPM 2023 pelajar menunjukkan peningkatan ketara dengan ramai pelajar berjaya memperoleh gred A dalam pelbagai subjek dan peningkatan keyakinan diri serta kemahiran interpersonal.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok