
Impian Nur Nasuha belajar di MRSM tercapai
Nur Nasuha Mohd Nusi, 13, pelajar cemerlang yang sebelum ini kisahnya tular kerana tidak dapat mengambil ujian kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) disebabkan kemiskinan, akhirnya berjaya mencapai impiannya apabila ditempatkan di MRSM Pasir Tumboh, Kelantan pada Rabu.
Bapanya Mohd Nusi Mamat, 39, mengakui berasa gembira selepas Nur Nasuha selesai mendaftarkan diri di MRSM berkenaan dan segala kelengkapan persekolahan sudah dibeli sejak sebulan lepas.
"Alhamdulillah, kami bersyukur dan saya lihat Nur Nasuha gembira serta bersemangat kerana impiannya sudah tercapai dan kami bersyukur kerana Majlis Amanah Rakyat (MARA) membantu dan memudahkan urusan persekolahannya," katanya ketika dihubungi Bernama.
Mohd Nusi berkata, jarak MRSM Pasir Tumboh yang hanya kira-kira 10 kilometer dari rumahnya akan memudahkan urusan sekeluarga untuk melawat anak kedua daripada lima beradik itu.
Sebelum ini, media melaporkan Nur Nasuha terlepas peperiksaan Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM dan ujian khas International General Certification of Secondary Education (IGCSE) ke Tingkatan Satu 2025 di MRSM Kuala Krai pada Oktober berikutan tidak mempunyai wang dan kenderaan.
Perkara itu mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mengarahkan pihak MRSM Kuala Krai menguruskan pengangkutan Nur Nasuha bagi menduduki peperiksaan UKK MRSM.