Wakil Datuk Menteri Besar Selangor, A.Rahim Ahmad Kasdi melihat hasil inovasi murid sekolah rendah dalam membangunkan robot.
Wakil Datuk Menteri Besar Selangor, A.Rahim Ahmad Kasdi melihat hasil inovasi murid sekolah rendah dalam membangunkan robot.

Karnival Genesis Pembelajaran Berasaskan Projek RBT perkasa TVET 

AZLEENDA SAHALUDIN
08 May 2024 11:16am
A
A
A

Buat julung kalinya Karnival Genesis Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) subjek Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) diadakan bagi memperkasakan bidang pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET) dalam kalangan pelajar sekolah menengah di Selangor.

Karnival anjuran Sektor Pembelajaran, Sektor Pembangunan Murid, Persatuan Sukan Rekreasi dan Kebajikan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Gombak dengan kerjasama panitia RBT mendapat sokongan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) British Malaysian Institute (BMI).

Ia menyaksikan sebanyak 36 sekolah di bawah PPD Gombak membentangkan dan mempertandingkan hasil kerja pelajar mengikut tema yang terdapat dalam subjek RBT seperti reka bentuk mekatronik, elektronik, mekanikal, teknologi pembuatan, reka bentuk fertigasi dan reka bentuk makanan.

Zainal Ismail
Zainal Ismail



Pegawai Pendidikan Daerah Gombak, Zainal Ismail berkata, objektif utama penganjuran karnival ini adalah untuk menyuburkan suasana pembelajaran abad ke-21 melalui amalan kaedah pembelajaran berasaskan projek di dalam kelas.

“Justeru, kita menjemput pelajar dan guru dari daerah Gombak ini untuk terlibat dalam karnival berbentuk pertandingan dan seterusnya membentangkan hasil kerja mereka.

“Ini sedikit sebanyak sebagai usaha untuk memperkasakan TVET dalam kalangan pelajar sekolah sekali gus menyokong aktiviti pemerkasaan TVET yang dibuat oleh kerajaan negeri Selangor,” katanya ketika ditemui Sinar Bestari.

Karnival yang berlangsung di Dewan Gemilang, UniKL BMI turut dimeriahkan dengan kolaborasi daripada 13 buah pempamer dari pelbagai agensi antaranya UniKL, MCCA, Kian Joo Factory, sekolah TS25 dan sekolah Perantisan Industri Menengah Atas (PIMA).

Turut hadir ke karnival berkenaan, wakil Datuk Menteri Besar Selangor, A.Rahim Ahmad Kasdi, Ketua Kampus dan Dekan UniKL BMI, Ts Dr Zulkifli Mahmoodin dan pegawai-pegawai di PPD Gombak.

Artikel Berkaitan:


 A.Rahim Ahmad Kasdi,
A.Rahim Ahmad Kasdi,



Sementara itu, A.Rahim ketika ditemui Sinar Bestari berkata, karnival yang dianjurkan ini sangat bertepatan dan selari dengan fokus kerajaan negeri Selangor dalam mengangkat pembelajaran berbentuk TVET bermula daripada peringat sekolah.

“Sebagai sebuah negeri industri, Selangor mesti menjadi peneraju TVET di Malaysia.

“Berdasarkan sumber daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) sebanyak 222 buah institusi Technical and Vocational Education and Training (TVET) telah didaftarkan di Selangor dan sebanyak 941 kursus yang ditawarkan dengan kapasiti 33,502 orang penuntut.

“Ini menunjukkan bahawa Selangor adalah lubuk bidang TVET dan rakyat di negeri ini perlu mengambil peluang dan inisiatif yang di hidangkan,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok