Karya pelajar KV Keningau menang anugerah emas dalam The Queen’s Commonwealth Essay Competition 2024
Pelajar Tingkatan Dua Teknologi Pembinaan dari Kolej Vokasional (KV) Keningau Sabah, Elisha Carmen Erick memenangi anugerah emas dalam pertandingan The Queen’s Commonwealth Essay Competition 2024 menerusi esei A Letter to the Prime Minister.
Isi kandungan esei yang dihasilkan Elisha adalah tentang rayuan kepada pemimpin negara agar menyelesaikan isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan yang merupakan isu semakin merisaukan terutama di Sabah.
Perkara itu menyebabkan kanak-kanak terbabit mengalami kesukaran mendapatkan pendidikan formal sekali gus mengurangkan peluang mereka untuk mengubah kehidupan dari segi sosial dan ekonomi.
Elisha melahirkan perasaan gembira dengan pencapaian itu kerana beliau seorang yang gemar meluahkan pendapat melalui penulisan apatah lagi sebelum ini dia berjaya menerbitkan rencana editorial pertama dalam sebuah majalah pendidikan.
Sementara itu, Pengarah kolej tersebut, Nordin Akup mengucapkan tahniah kepada Elisha atas kejayaan yang telah dikecapi.
"Saya berharap pencapaian ini dapat menjadi pembakar semangat kepada pelajar lain untuk mendalami bidang penulisan dan kewartawanan dengan lebih gigih.
"Dalam masa sama, membantu mereka mengasah kemahiran berfikir dan kemahiran menggunakan bahasa yang dipelajari,” ujarnya.
Terdahulu, The Queen’s Commonwealth Essay Competition adalah pertandingan penulisan esei bahasa Inggeris dianjurkan setiap tahun oleh Royal Commonwealth Society, United Kingdom, sejak 1883 dan ia terbuka untuk semua pelajar sekolah di seluruh dunia.
Setiap esei yang disertakan akan dinilai dan dianugerahkan dengan anugerah emas, perak dan gangsa serta sijil penyertaan berdasarkan julat pemarkahan ditetapkan.