Muhammad Shahril (dua dari kiri) meraih 11A dalam SPM 2022 dan dia menerima keputusan tersebut menerusi kunjungan kumpulan guru ke rumahnya pada Jumaat.
Muhammad Shahril (dua dari kiri) meraih 11A dalam SPM 2022 dan dia menerima keputusan tersebut menerusi kunjungan kumpulan guru ke rumahnya pada Jumaat.

Keikhlasan menjaga ibu, ALLAH rezekikan Muhammad Shahril 11A SPM. Netizen menangis!

ROSHLAWATY MD RAIEH
09 Jun 2023 05:47pm
A
A
A

“Berbakti pada ibu sedang sakit, ALLAH gantikan dengan kejayaan yang cemerlang.”

“Masya-ALLAH tahniah dik. Awak akan menjadi orang yang hebat suatu hari nanti.”

“Tersentuh sangat dik. Semoga ibu adik cepat sembuh.”

“Dalam banyak-banyak video Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tular hari ini, awak menang dik! Tahniah sebab dah jadi anak yang membanggakan mak ayah.”

“Semoga berjaya dunia akhirat dik. Jatuh air mata ni tanpa aku sedar.”

“Mudah-mudahan pihak pendidikan beri bantuan sepenuhnya untuk anak ini melanjutkan pelajaran.”

“Banyak-banyak video adik-adik SPM, yang ni betul-betul buat saya sebak! Semoga dipermudahkan segala urusanmu dik.”

“ALLAH sentiasa bersama denganmu. Mudah-mudahan sentiasa cemerlang.”

Artikel Berkaitan:

Inilah antara kata-kata semangat dan motivasi pengguna TikTok bagi satu video yang tular pada Jumaat.

Video tersebut mengisahkan seorang pelajar yang tidak dapat hadir ke sekolahnya untuk mengambil keputusan SPM kerana menjaga ibu, Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, yang sedang terlantar sakit di rumah.

Pelajar yang dikenali Muhammad Shahril Saidi itu merupakan calon SPM 2022 berjaya memperoleh 11A dalam peperiksaan tersebut sekali gus muncul pelajar terbaik Sekolah Menengah Ugama (Arab) Darul Iman, Beris Lalang, Bachok, Kelantan.

Muhammad Shahril mendapat A untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, Sains, Syariah, Usuluddin, Manahu al-Ulum Al Islamiah, Al Adab Wal Al-Balaghah, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Syariah dan Al-Lughah Al Arabiah Al-Muasirah.

Menurut anak bongsu daripada enam beradik ini, dia tidak dapat hadir ke sekolah kerana menjaga ibunya yang sakit saraf sejak empat tahun lalu.

“Saya dan adik beradik lain memang mengambil tanggungjawab menjaga ibu sejak dia sakit.

“Rutin setiap pagi saya adalah memandikan ibu sebelum pergi ke sekolah dan melakukan tugas sama apabila pulang dari sekolah.

“Tiada apa yang mengubah rutin hidup saya walaupun ketika ibu sedang sakit kerana saya memang suka berada di rumah menemaninya,” ujarnya.

Sementara itu, menerusi video yang tular, kelihatan beberapa guru Sekolah Menengah Ugama (Arab) Darul Iman menghantar keputusan peperiksaan ke rumah Muhammad Shahril selepas dia tidak hadir mengambil keputusan SPM pada Khamis.

Pengetua sekolah tersebut, Noor Ruziana Ismail berkata, pada mulanya pihak sekolah mahu menziarah selepas mendapat tahu ibu Muhammad Shahril sakit terlantar.

Malah kedatangan mereka juga bertujuan menjemput pelajar berkenaan untuk hadir ke sekolah dan mengambil keputusan.

“Bagaimanapun, selepas mengetahui situasi Muhammad Shahril, kami sepakat menghantar keputusan SPM ke rumahnya pada Jumaat dan tidak menyangka video tersebut tular,” ujarnya.

Sinar Bestari mendoakan yang terbaik buat Muhammad Shahril dan diharapkan kisahnya menjadi contoh dan teladan kepada anak-anak muda di luar sana.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok