Kejayaan pasukan inovasi SMKA Kedah di WICO 2024
Penat lelah perjalanan pasukan inovasi Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah di Korea Selatan membuahkan hasil gemilang dengan kemenangan satu pingat emas dan dua pingat perak di World Invention Creativity Olympic (WICO) 2024, baru-baru ini.
Setelah berhadapan dengan persaingan dari 25 negara lain di Seoul National University of Education, pasukan itu berjaya menarik perhatian juri melalui produk inovasi mereka, Asqen Lotion Spray, direka sebagai pelindung gigitan nyamuk.
Pasukan inovasi itu dianggotai empat pelajar iaitu Mohd Faedz Ammar Mohd Faedzal,17, Mohd Muadz Mohd Muslim,16, Mohd Faizi Hamdi Mohd Fuad,16, dan Muhammad Asif Alwan Mohammad Shahuri, 15.
Penghasilan Asqen Lotion Spray juga mendapat kerjasama dan bimbingan dari syarikat Camay Sdn Bhd sekali gus menunjukkan keupayaan pasukan untuk mencipta produk yang bukan sahaja berinovasi tetapi juga relevan dengan keperluan semasa.
Sementara itu, pingat perak dimenangi SMKA Kedah pula adalah menerusi produk Mericum Care hasil usaha Wafa' Al-Hanani Abd Halim, Adlina Atiqah Azizan dan Nur Amirah Amni Adenan.
Diperbuat daripada herba perubatan seperti Daun Senduduk atau Melastoma Malabathricum L, Mericum Care dapat merawat luka dan kulit kepala gatal akibat kelemumur serta memperbaiki pertumbuhan rambut.
Manakala pingat perak kedua buat SMKA Kedah dimenangi oleh Mohd Haristh Safwan Mohd Ridzuan menerusi produk Hydro Edu Kit iaitu alat pembelajaran interaktif yang menggunakan tenaga hidroelektrik.
Ketua Mentor Pasukan, Ismail Salleh berkata, kejayaan ini adalah hasil dedikasi dan semangat pasukan bimbingannya sekali gus dapat menarik perhatian juri.
"Kejayaan di WICO 2024 bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia di persada dunia, tetapi juga membuktikan bahawa pelajar Malaysia mampu bersaing dan cemerlang di peringkat global.
"Dengan pencapaian ini, SMKA Kedah terus mengorak langkah sebagai perintis dalam bidang inovasi pendidikan, membuka mata dunia terhadap potensi besar yang dimiliki oleh generasi muda Malaysia," katanya yang juga penerima Anugerah Khas Guru Inovasi peringkat Kebangsaan 2021.
Sementara itu, wakil pelajar, Mohd Faedz Ammar meluahkan perasaan terkejut dan tidak menyangka pasukan mereka dinobatkan sebagai penerima anugerah Semi Grand Award di samping menerima pingat emas.
"Kami juga terharu kerana walaupun kali pertama menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa, namun kami berjaya mengharumkan nama negara dan nama sekolah atas pencapaian yang digapai di persada dunia," katanya.
Rakan sepasukannya, Muhammad Muadz menyatakan kejayaan mereka di WICO 2024 ternyata berbaloi kerana untuk menghasilkan produk Asqen Lotion Spray bukanlah sesuatu yang mudah.
"Untuk mendapatkan hasil terbaik dan memenangi pingat emas untuk produk ini, kami mengambil masa tiga bulan untuk merealisasikannya.
"Kami berharap, produk ini dapat diperbaiki dari masa ke masa dan lebih dikenali di mata dunia.
"Kami juga bercadang menyertai lebih banyak pertandingan inovasi di peringkat antarabangsa supaya nama Asqen Lotion Spray dikenali di khalayak ramai dan meraih pelbagai komen positif daripada pengguna," katanya.