Kejohanan olahraga medan apresiasi bakat pelajar
Kejohanan sukan dan olahraga anjuran sekolah adalah salah satu ruang bagi mencungkil bakat atlet baharu dalam kalangan pelajar untuk membawa mereka bersaing ke peringkat yang lebih tinggi.
Ia merupakan acara yang sangat dinantikan oleh para pelajar untuk mereka tampil unggul dalam acara sukan sekali gus merasakan kemeriahan sepanjang kelangsungan kejohanan.
Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai, Saridah Abdul Majid berkata kejohanan olahraga sekolah adalah acara tahunan penting bagi guru untuk melihat potensi dan bakat para pelajar.
“Aktiviti ini bukan sahaja mampu melahirkan atlet hebat, tetapi ia juga dapat meningkatkan daya saing sesama warga sekolah untuk sentiasa memberikan yang terbaik dalam menggilap potensi murid ke arah kecemerlangan,” katanya.
Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Herman Irwadi Ismail, menzahirkan rasa senang apabila melihat semangat padu ditunjukkan oleh kontinjen perbarisan rumah sukan, badan beruniform dan barisan atlet dalam memberikan yang terbaik.
“Pastinya kita ingin melihat atlet di SMK Kota Masai dapat mewakili negeri dan negara dalam kejohanan olahraga di peringkat yang lebih tinggi,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kejohanan Olahraga SMK Kota Masai kali ke-20 yang berlangsung pada 18 Julai lalu.
Sementara itu, Penolong Kanan Kokurikulum, Yatiman Kamsidin berkata, kejohanan kali ini mebabitkan enam pasukan rumah sukan yang bertanding dan turut melibatkan seramai 300 orang murid dari sembilan kontinjen badan beruniform dalam acara perbarisan.
“Antara acara yang dipertandingkan ialah olahraga balapan, lempar peluru, rejam lembing, lompat jauh, pertandingan sorak dan hiasan khemah kreatif.
“Terima kasih diucapkan kepada semua barisan pendidik dan warga sekolah di atas komitmen yang diberikan dalam menjayakan kejohanan olahraga dengan sempurna,” ujarnya.
Terdahulu, rumah sukan Biru dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan pungutan mata keseluruhan 1139 yang mengumpulkan sebanyak 14 pingat emas, 11 pingat perak dan 17 pingat gangsa serta memenangi anugerah pasukan sorak terbaik dalam kejohanan.
Sehubungan itu, Muhammad Nur Amin Haikal Rafael dan Sayvetaarshini Kalyanasundram masing-masing telah dinobatkan sebagai olahragawan serta olahragawati kejohanan tersebut.
Muhammad Naufal Mohammad dan Nur Abidah Muhammad Farid pula dipilih sebagai olahragawan serta olahragawati harapan yang menjadi prospek masa depan olahraga sekolah.
Untuk rekod, kejohanan olahraga kali ini digemparkan lagi dengan pemecahan rekod terbanyak sepanjang kejohanan, melibatkan 16 atlet dalam tujuh acara yang dipertandingkan.
Acara Perbarisan Lintas Hormat dan pertandingan perbarisan pula dimenangi oleh pasukan rumah Indigo serta badan beruniform St John, manakala pertandingan hiasan khemah kreatif dimenangi oleh rumah sukan Kuning.
Barisan pendidik SMK Kota Masai juga tidak melepaskan peluang menampilkan semangat kesukanan dengan menyertai pertandingan dalam meraih podium.
Acara lontar peluru dimenangi oleh Siti Hajar Ghuzalli, manakala acara 2x50 meter dimenangi oleh Muhammad Ikmal Othaman dan Mohd Nur Faiz Othman.
Turut hadir bersama, Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG), Mohd Gahis Ahmad, barisan ibubapa, komuniti dan para pelajar yang memeriahkan lagi kejohanan olahraga sekolah serta memberi sokongan kepada para atlet yang bertanding.