Kem Math Matters pupuk kembali minat pelajar dalam subjek Matematik

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
14 Feb 2023 05:40pm

Penerapan bidang pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) amat penting kepada pelajar dalam usaha melahirkan lebih ramai modal insan yang mahir dalam bidang berkenaan.

Ia adalah sebagai usaha untuk mempersiapkan pelajar bagi menghadapi setiap cabaran global pada masa akan datang.

Namun sejak kebelakangan ini minat pelajar dalam bidang tersebut dilihat semakin berkurangan dan ia boleh menyebabkan negara ketinggalan dari segi pembangunan inovasi dan teknologi berbanding negara lain.

Untuk itu, bagi memupuk semula minat pelajar berkaitan STEM terutamanya subjek Matematik, Persatuan Sains Pengurusan dan Penyelidikan Operasi Malaysia (MSORSM) telah menganjurkan program Kem Math Matters 2023.

Pengerusi Kem Math Matters, Inspektor Ts Mohd Norzikri Kamaruddin berkata, penganjuran program itu untuk memberi kesedaran kepada pelajar terutamanya anak-anak pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) Desa Aman 2, Kuala Lumpur, akan kepentingan ilmu Matematik dalam kehidupan seharian.

“Seperti yang sedia maklum tentang penurunan minat pelajar dalam bidang STEM dilihat satu perkara membimbangkan.

“Justeru, dengan wujudnya program seumpama ini pelajar dapat menimba ilmu dari luar bilik darjah serta membuka minda mereka terhadap keperluan subjek berkenaan pada masa hadapan.

“Ia juga sebagai usaha untuk memupuk kembali minat pelajar mendalami ilmu Matematik dan membuang persepsi serta tanggapan bahawa subjek itu susah dan sukar untuk dikuasai,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut tentang program berkenaan, Mohd Norzikri memberitahu, ia dianjurkan secara percuma melibatkan pelajar Tingkatan Satu hingga Lima yang terdiri daripada anak-anak pegawai PDRM Desa Aman 2.

Malah beliau turut memaklumkan program itu turut disertai penceramah yang merupakan pensyarah daripada universiti awam (UA) iaitu Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UteM), Profesor Madya Ts Dr Zuraida Abal Abas; Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Nurakmal Ahmad Mustaffa dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Ts. Dr. Mohammad Fadzli Ramli.

Dalam pada itu, Mohd Norzikri juga menambah, MSORSM merupakan salah sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang sentiasa komited untuk memberi faedah timbal balik kepada masyarakat dengan pemindahan pengetahuan mengenai Sains Pengurusan atau Penyelidikan Operasi yang dapat dimanfaatkan bersama.

Ujarnya lagi, pihaknya berhasrat untuk terus menawarkan program pemindahan ilmu terutamanya Matematik kepada semua pelajar bersekolah menengah di kawasan berdekatan Desan Aman 2.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp