Sharifah Nur Tijani
Sharifah Nur Tijani

Kemahiran murid diasah hingga tajam

STEM dan robotik bukan sekadar bina atau mencipta robot

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
29 Apr 2024 08:28am

Sama seperti aliran pendidikan lain, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta robotik mempunyai kepentingan tersendiri dalam menjamin ketersediaan murid mendepani cabaran kemajuan teknologi masa depan.

Jadi tidak hairanlah apabila semakin banyak platform pendidikan yang menumpukan pembelajaran STEM dan robotik kini, malah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berusaha memperkasakan bidang itu bermula daripada peringkat sekolah.

Faiz Syahmi
Faiz Syahmi

Menurut guru di World of Robotics, Faiz Syahmi, perubahan bidang itu di kebanyakan sekolah dapat dilihat apabila pendedahan dan ilmu mula diberikan kepada murid terutama dalam mengubah persepsi mereka tentang STEM serta robotik, bukanlah pembelajaran yang sukar.

Beliau berkata, jika dahulu robotik sering dianggap sebagai permainan lego, kini murid mula faham bahawa bidang itu melibatkan pelbagai aspek pembelajaran seperti pengaturcaraan, pengekodan dan pembinaan yang mampu menaik minat mereka untuk mengikut kelas aliran Sains dan Teknologi.

“Kami guru-guru di World of Robotics mempunyai visi untuk mendedahkan kepada murid agar mereka bersedia mendepani masa depan yang penuh dengan kemajuan teknologi.

“Melalui pendidikan STEM dan robotik yang kami ketengahkan bukan sahaja dapat membantu murid meningkatkan pelbagai kemahiran tetapi turut memberi keseronokan kepada mereka,” katanya kepada Sinar Bestari.

Bina pelbagai kemahiran

Faiz yang juga Ketua Akademik World of Robotics memberitahu, tidak hanya menumpukan kemahiran menghasilkan robot, dron dan sebagainya tetapi murid yang mengikuti aliran itu mampu membina keupayaan penyelesaian masalah, berkomunikasi dan bekerjasama dalam kumpulan.

Artikel Berkaitan:

Faiz menjelaskan, kemahiran itu diasah dari masa ke masa sepanjang mereka mengikuti kelas pembelajaran STEM dan robotik, sama ada di sekolah atau di pusat World of Robotics.

“Kenapa saya kata, murid yang ikuti kelas STEM dan robotik ini mempunyai kemahiran berkenaan? Ia kerana setiap kelas guru-guru memang akan melatih mereka melalui aktiviti yang dijalankan.

“Mereka diberi tugasan, misi mengikut kumpulan mereka dan dari sini dapat dilihat sekiranya ada masalah mereka lebih cepat menyelesaikannya,” kongsinya.

Ujar Faiz lagi, sebagai persediaan menghadapi kemajuan teknologi masa depan, beliau berharap agar pendidikan STEM dan robotik ini terus diberi pendedahan kepada semua sekolah sama ada bandar mahu pun di luar bandar.

Adib Fakhrullah
Adib Fakhrullah

Bersetuju akan perkara itu, seorang lagi guru, Adib Fakhrullah Mohd Alwi menyatakan hasrat sama dalam memberi peluang kepada semua lapisan murid agar mereka dapat mempelajari STEM dan robotik di sekolah atau di pusat pembelajaran yang lain.

Katanya, usaha guru-guru di World of Robotics adalah untuk mencungkil bakat inovasi murid dalam bidang sains dan robotik agar negara mempunyai bakat anak muda tempatan yang mampu membina nama serta kerjaya satu hari nanti.

“Cuma apabila melibatkan sebarang usaha ini semestinya mempunyai beberapa kekangan antaranya penyediaan peralatan robot sebab kos tinggi, kekurangan sumber serta kekurangan cikgu yang mahir untuk mengajar murid.

No Image Caption

“Justeru kami, sebagai pendidik di World of Robotics memainkan peranan penting untuk memberi pendedahan kepada murid kerana kami sendiri dilatih menerusi latihan dan kursus agar lebih bersedia mengajar mereka,” ujarnya.

Reaksi

Sharifah Nur Tijani
Sharifah Nur Tijani



"Sejak kecil, saya sering melihat ayah membaiki barang elektronik seperti komputer dan ia menarik minat untuk mendalami bidang robotik sebab ia berkait rapat dengan kemahiran menghasilkan serta membaiki. Hasil belajar di World of Robotics, saya telah berjaya memenangi pertandingan di Asia Pasific University (APU) dengan menghasilkan robot yang mampu bergerak dari satu blok ke blok yang lain. Saya berharap dapat menyertai lebih banyak pertandingan pada masa akan datang dan mengejar cita-cita menjadi jurutera.” - Pelajar Tingkatan Dua, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Impian, Selangor, Sharifah Nur Tijani Hanan Syed Aminuddin.

Hani Syafiqah
Hani Syafiqah



"Robotik menarik minat saya sebab boleh belajar pelbagai perkara dan tidak hanya terhad dalam menghasilkan robot semata-mata. Saya juga didedahkan dengan kemahiran seperti penyelesaian masalah yang dapat digunakan dalam kehidupan seharian sama ada di sekolah atau di rumah. Saya berharap untuk menyertai lebih banyak pertandingan robotik sekali gus ia mengasah bakat diri.” - Pelajar Tingkatan Tiga, SMK Saujana Impian, Hani Syafiqah Mohd Rizam.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp