Kolej Tingkatan Enam Forest Heights kini dikenali Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz
Kolej Tingkatan Enam Forest Height, Seremban, Negeri Sembilan dijenamakan semula sebagai Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz.
Pertukaran nama tersebut mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang mencemar duli menyempurnakan majlis pemasyhurannya pada Selasa.
Turut berangkat sama, Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan putera baginda Tunku Zain Al-Abidin.
Hadir sama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pengetuanya, Datin Seri Nurul Hidayah Seah Abdullah berkata, pemasyhuran nama berkenaan merupakan penghargaan dan penghormatan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang merupakan pemerintah tertinggi negeri ini.
Menurutnya, kolej itu pada awalnya merupakan Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Senawang 3, namun namanya telah ditukar kepada SMK Forest Heights pada 13 Julai 2019.
"SMK Forest Heights Seremban terus melakar sejarah apabila diumumkan sebagai Kolej Tingkatan Enam Forest Heights Seremban pada tahun 2022.
"Pada 16 Januari, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan telah mencadangkan penukaran nama tersebut kepada Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz," katanya ketika berucap dalam majlis pada Selasa.
Menurutnya, penjenamaan semula nama kolej tersebut adalah bersesuaian dengan kedudukan satu-satunya Kolej Tingkatan Enam khususnya di Negeri Sembilan.
Malah katanya, data juga menunjukkan bahawa kolej berkenaan menduduki tempat ketiga menerima pelajar paling ramai dalam kalangan Kolej Tingkatan Enam di negara ini.