KVSAS Merdeka Cultural Exchange 2025 yang diadakan secara Google Meet merupakan program pertukaran budaya melibatkan pelajar dari Malaysia, Jepun dan Indonesia.
KVSAS Merdeka Cultural Exchange 2025 yang diadakan secara Google Meet merupakan program pertukaran budaya melibatkan pelajar dari Malaysia, Jepun dan Indonesia.

'KVSAS Merdeka Cultural Exchange 2025' satukan Malaysia, Jepun dan Indonesia

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
11 Aug 2025 08:20pm

Walaupun hanya bertemu di ruang maya, semangat perpaduan dan kemerdekaan tetap berkobar menerusi penganjuran KVSAS Merdeka Cultural Exchange 2025 kendalian Jabatan Pendidikan Umum, Kolej Vokasional (KV) Sultan Abdul Samad (KVSAS).

Menurut pensyarahnya, Muhammad Aiman Syafiq Sabri, KVSAS Merdeka Cultural Exchange 2025 merupakan program pertukaran budaya melibatkan pelajar dari Malaysia, Jepun dan Indonesia.

"Program ini berlangsung secara dalam talian menerusi platform Google Meet bermula pukul 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari pada Jumaat.

"Ia bertemakan Unity in Diversity: Embracing Cultures, Celebrating Freedom dengan penyertaan aktif pelajar berumur 13 hingga 19 tahun," katanya kepada Sinar Bestari.

Muhammad Aiman Syafiq berkata, walaupun program itu dijalankan secara online, ia tetap berjaya memberi pengalaman pembelajaran bermakna dan interaktif.

No Image Caption

"Melalui perkongsian ini, pelajar bukan sahaja mempelajari budaya negara lain, malah dapat memperkenalkan kekayaan warisan kita kepada dunia. Inilah semangat kemerdekaan yang sebenar iaitu meraikan kepelbagaian dan memupuk rasa saling menghormati.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, program turut membuktikan bahawa teknologi mampu merapatkan jurang geografi dan menghubungkan generasi muda dari pelbagai latar belakang untuk berkongsi pengetahuan, seni dan budaya dalam suasana harmoni," ujarnya lagi.

Terdahulu, Malaysia diwakili peserta dari KVSAS, KV Sepang, KV Klang, KV Shah Alam, KV Tanah Merah, KV Melaka Tengah, KV Kuala Klawang dan KV Balik Pulau.

Manakala Jepun diwakili peserta dari Hiranokita Junior High School dan Indonesia (Pondok Pesantren Fajar Dunia).

Bagi memeriahkan suasana, setiap KV dari Malaysia tampil dengan persembahan unik yang menggambarkan kepelbagaian budaya negara.

No Image Caption

KV Sepang memperkenalkan pelbagai makanan tradisional yang menjadi warisan turun-temurun, lengkap dengan penerangan tentang sejarah dan keistimewaan setiap hidangan.

KV Kuala Klawang pula mempamerkan pakaian tradisional pelbagai kaum di Malaysia, sambil menjelaskan makna simbolik dan nilai budaya yang tersirat di sebaliknya.

Seterusnya, KV Klang mengetengahkan kepelbagaian perayaan, KV Shah Alam (permainan tradisional), KV Balik Pulau (persembahan muzik dan tarian tradisional) dan KVSAS (tempat menarik di Malaysia).

KV Melaka Tengah pula membawa audiens menyelami keistimewaan dialek di Malaysia dan yang terakhir KV Tanah Merah mempamerkan hasil seni dan kraf tradisional seperti batik, anyaman mengkuang dan ukiran kayu.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp