Lapan pelajar istimewa johan persembahan boneka
Lapan pelajar berkeperluan khas dari Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah muncul johan kategori persembahan boneka pada Festival Seni Art Marathon in Germany, 10 Januari lalu.
Mereka terdiri daripada Danial Edrin Roslan, Mohammad Hanif Haiqal, Muhamad Shazric, Radet Jainol, Mohammad Rezwanddy Mohammad Ali, Johan Jomilin, Shahrul Adha Mohd Damsi dan Mohd Nur Syafiri Jaiman, mendapat tempat di hati juri menerusi karya Tambuakar.
Tambuakar mengisahkan tentang seekor naga mitos yang dipercayai tinggal di sungai Padas iaitu antara sungai terpanjang di Sabah.
Menurut cerita dahulu kala, naga tersebut tinggal di hutan sebelum beralih ke sungai akibat penempatan manusia.
Apabila naga berasa terganggu, ia akan melibaskan ekornya yang menjadi punca air bah membanjiri kampung berhampiran.
Sementara itu, lapan pelajar yang mendapat bimbingan Cikgu Siti Nur Hanisah Omar Hashim adalah pelajar Tingkatan Empat yang mengalami masalah pembelajaran dan pendengaran. Mereka kini sedang mengikuti sijil kemahiran Malaysia (SKM) di KV Keningau.
Pengarahnya, Nordin Akup berkata, beliau cukup terharu dengan pencapaian anak-anak didiknya itu.
“Mereka sudah buktikan pelajar berkeperluan khas mempunyai kemampuan tersendiri sama seperti pelajar lain sekiranya diberi kepercayaan, sokongan dan platform sesuai dengan kebolehan yang ada.
“Saya yakin penyertaan pelajar dalam pertandingan ini mampu menyemarakkan amalan seni dan budaya dalam kalangan pelajar lain,” ujarnya.
Kepada mereka yang ingin menyaksikan video menarik hasil karya lapan pelajar KV Keningau, layari https://youtu.be/JrSRxoD_6Ys?feature=shared