Allahyarham terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 6, Jalan Kulai - Kota Tinggi ketika dalam perjalanan ke sekolah.
Allahyarham terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 6, Jalan Kulai - Kota Tinggi ketika dalam perjalanan ke sekolah.

Maut sebelum sempat duduki SPM...'Semoga syurga buatmu, Muhamad Ariq'

11 Sep 2025 04:39pm

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai, Johor, Muhamad Ariq Azlan, dilaporkan maut dalam kemalangan pada pagi Rabu sebelum sempat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Difahamkan, Allahyarham terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 6, Jalan Kulai–Kota Tinggi ketika dalam perjalanan ke sekolah.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee, dalam kejadian jam 7.15 pagi, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR maut di tempat kejadian akibat cedera parah di anggota badan.

"Siasatan awal mendapati, motosikal mangsa hilang kawalan lalu merempuh belakang motosikal Yamaha 135LC ditunggang lelaki berusia 54 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujar beliau, rempuhan itu telah menyebabkan kedua-dua motosikal terbabas dan bergesel dengan sebuah kereta Perodua Axia dipandu wanita berusia 20 tahun.

Kedua-dua motosikal kemudian terbabas ke lorong bertentangan dan dilanggar sebuah lori Hicom dipandu lelaki berusia 59 tahun yang tidak sempat mengelak.

Sambung Seng Lee lagi, penunggang motosikal berusia 54 tahun parah di kepala dan dihantar ke Hospital Kulai.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim di talian 017-7573507 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai," katanya.

Untuk info, peperiksaan SPM 2025 dijadualkan berlangsung dari 3 November hingga Disember 2025, dengan ujian lisan dan amali diadakan lebih awal pada November manakala peperiksaan bertulis berlangsung dari 25 November hingga 23 Disember 2025.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp