
Biasiswa Bakat Dashing: Tiket emas pelajar sekolah ke Tottenham Hotspur!
Bayangkan jika seorang pelajar sekolah menengah di Malaysia diberi peluang menjejakkan kaki ke pusat latihan kelab bola sepak gergasi dunia, Tottenham Hotspur di London. Kedengaran seperti mimpi tetapi itulah realiti yang menanti menerusi Biasiswa Bakat Dashing 2025, sebuah inisiatif anjuran jenama penjagaan diri lelaki terkemuka, DASHING.
Program ini yang kini memasuki tahun kedua penganjurannya, memberi tumpuan kepada remaja lelaki berumur antara 15 hingga 18 tahun. Ia bertujuan mencari dan menggilap bakat bola sepak dari peringkat akar umbi sekali gus membuka laluan untuk mereka menyerlah di pentas antarabangsa.
Hanya tiga pemain muda terbaik akan dipilih daripada 120 peserta yang disenarai pendek, sebelum diberikan peluang latihan intensif sekali seumur hidup di Pusat Latihan Tottenham Hotspur di United Kingdom.

Untuk menyertai pencarian ini, peserta hanya perlu mempamerkan kemahiran mereka melalui rakaman video pendek berdurasi antara 15 hingga 60 saat. Video berkenaan boleh dimuat naik ke akaun rasmi Instagram atau TikTok Biasiswa Bakat Dashing.
Kesemua penyertaan akan dinilai oleh panel jurulatih berwibawa dan daripada ratusan peserta yang menghantar video, sejumlah 120 orang dengan potensi terbaik akan dipanggil menghadiri Kem Identifikasi Bakat Eksklusif pada Oktober ini di Arena Sukan, Kuala Lumpur.

Kem itu bakal dikendalikan oleh Jurulatih Pembangunan Global Tottenham Hotspur dan menampilkan siri penilaian berstruktur, latihan intensif serta pembangunan bakat menyeluruh bagi mengenal pasti mereka yang benar-benar berpotensi mengangkat nama Malaysia ke peringkat dunia.
Menurut Pengurus Pemasaran DASHING, Devarshi Dalmia, Biasiswa Bakat Dashing bukan sekadar sebuah kempen, sebaliknya usaha berterusan untuk memberikan keyakinan, pendedahan awal dan peluang sebenar kepada remaja tempatan.
Katanya, matlamat utama program ini adalah untuk menginspirasi anak muda agar terus menggapai impian besar, berlatih bersungguh-sungguh serta percaya bahawa mereka juga mampu berdiri di persada bola sepak antarabangsa.

Dalam masa sama, DASHING turut menganjurkan kempen Beli & Sumbang sepanjang Ogos hingga September 2025. Setiap pembelian produk DASHING atau DASHING Elite akan menyumbang RM1 kepada dana Biasiswa Bakat Dashing, sekali gus membantu menaja pelajar yang terpilih untuk ke Tottenham Hotspur.
Inisiatif ini jelas membuktikan bahawa bola sepak bukan sekadar sukan, malah mampu menjadi landasan untuk membina keyakinan, disiplin dan masa depan yang lebih cemerlang.
Tidak mustahil suatu hari nanti, salah seorang pelajar sekolah di Malaysia bakal mencatat sejarah sebagai anak tempatan pertama yang menggegarkan padang latihan Tottenham Hotspur dan seterusnya melangkah ke liga antarabangsa!