Menarik minat pelajar tahfiz dalam bidang STEM: Antara cabaran dan keperluan
Salah satu isu besar dalam pendidikan negara hari ini adalah apabila institut pengajian tinggi (IPT) berhadapan kekangan mengisi kuota pelajar dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).
Ia rentetan daripada dapatan kajian yang menunjukkan pelajar semakin tidak berminat untuk mempelajari STEM apatah lagi memilih bidang ini sebagai pendidikan lanjutan mereka di universiti.
Justeru, ramai pihak selain institusi pendidikan seperti Pusat Sains dan Planetarium mengambil pendekatan melancarkan beberapa kempen seperti kemasukan percuma ke tempat pengajian tersebut bertujuan menggalakkan pelajar melihat dan mengalami sendiri aktiviti berkaitan STEM.
Objektif ini dilihat sebagai salah satu inisiatif untuk menyedarkan generasi sekarang STEM itu adalah sesuatu yang menyeronokkan dan interaktif.
Namun demikian, usaha berterusan juga haruslah dibuat dari peringkat awal bagi membina dan memupuk minat pelajar dalam bidang berkenaan.
Antara pihak yang dilihat berperanan besar ke arah merealisasikan hasrat tersebut adalah usaha sama dari institusi pendidikan seperti sekolah.
Pihak sekolah perlu berusaha mengambil langkah proaktif dalam memainkan peranan mengikut konteks masing-masing selaras dengan hasrat kerajaan melahirkan lebih ramai pelajar menceburi bidang STEM.
Mata pelajaran STEM yang dilihat dan dianggap sukar oleh kebanyakan pelajar perlu dikaji permasalahannya secara menyeluruh dan mencari penyelesaiannya dengan segera.
Pentadbiran sekolah juga perlu meletakkan keutamaan dalam memperkasakan bidang STEM untuk mengubah stigma tersebut.
Kita mungkin tidak mampu menyelesaikan masalah ini sekelip mata namun kita boleh mengubah dan memperbetulkan keadaan jika semua memainkan peranan masing-masing secara konsisten.
Sementara itu, pelbagai kaedah dan program boleh diatur dan dirancang dalam memastikan STEM terus diminati ramai antaranya melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan dengan memberi pelajar pengalaman belajar secara hands on dengan cara mengaplikasikan bidang STEM di dalam dan juga luar bilik darjah.
Masyarakat khususnya pelajar perlu didedahkan pembelajaran subjek STEM tidak hanya berlaku dalam bilik darjah semata-mata.
Dalam konteks ini, pihak sekolah mungkin berdepan dengan cabaran-cabaran tertentu untuk memupuk semangat pelajar untuk meminati bidang STEM.
Mereka perlu bijak merancang dan menyediakan aktiviti yang boleh mengubah persepsi anak-anak didik kepada STEM.
Penganjur atau sesiapa sahaja tidak perlu membuat aktiviti yang rumit dan sukar, hanya perlu beri pelajar peluang belajar dalam keadaan yang meyeronokkan tanpa menyedari mereka sebenarnya sedang mengaplikasikan bidang STEM ketika itu.
Antara cabaran dan keperluan integrasi STEM dan tahfiz
Di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Selandar (SISMe), Melaka, yang mana pelajar-pelajarnya terdiri daripada pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) aliran Sains Tahfiz, tenaga pendidiknya juga tidak terkecuali berdepan dengan cabaran dalam menanam minat pelajar kepada STEM.
Justeru, dibawah sokongan penuh Pengetua SISMe, Ustaz Badrol Shah Abd Saha, Unit STEM dan R&D SISMe serta beberapa panitia telah merancang menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk pelajar sepanjang Karnival STEM SISMe 2023 berlangsung baru-baru ini.
Biarpun berdepan dengan cabaran dari segi kekangan masa dalam mengintegrasikan dua bidang utama iaitu tahfiz dan sains, namun program tersebut tetap diteruskan mengikut ketetapan.
Karnival STEM SISMe 2023 yang bermula 19 Jun lalu turut mendapat sokongan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SISMe di mana Yang Dipertuanya, Ahmad Izham Razali berkunjung ke tapak pameran dan beramah mesra dengan pelajar.
Antara bentuk pameran yang disediakan ialah Model Bandar Hijau-Greentech Project, Smart House, Homemade Organic Soap, Model Sistem Pencernaan dan juga jualan jeruk, dadih dan yogurt hasil air tangan pelajar (fermentasi).
Selain mempamer hasil kerja, para pelajar turut membentang dan memberi penerangan berkenaan hasil karya mereka kepada tetamu yang berkunjung ke reruai mereka.
Ia secara tidak langsung mampu mendekatkan pelajar dengan komuniti luar selain mengasah kemahiran komunikasi dan meningkatkan keyakinan dalam diri mereka.
Sepanjang Karnival STEM SISMe 2023 berlangsung, beberapa aktiviti menarik turut disediakan kepada para pengunjung.
Antaranya homemade organic soap, car balloon drift, rubik challenge, juggling soccer, robotik, sudoku, add Math brain teaser dan roket air.
Seterusnya, aktiviti seperti DIY parachute, homemade giant bubbles, mencerap bintang dan buruj (penggunaan telescope), kuiz STEM, BENTO on the go, BodyCraft dan Usrah turut diadakan sempena karnival berkenaan.
Berdasarkan maklum balas yang diterima dari pelajar, guru dan ibu bapa serta penjaga yang hadir, mereka mengharapkan Karnival STEM SISMe 2023 ini akan diteruskan pada masa akan datang dan dijadikan aktiviti tahunan sekolah.
Beberapa aktiviti menarik juga akan ditambah baik dan perancangan untuk melibatkan pihak luar juga telah dirangka.
Yang pasti, objektif Karnival STEM SISMe 2023 tercapai dan telah berjaya meningkatkan minat pelajar dalam bidang STEM.
Malah pelaksanaannya melalui pengintegrasian elemen STEM dan tahfiz dilihat mampu membentuk keseimbangan yang menarik sekali gus membuka peluang dan ruang kepada pelajar SISMe melengkapkan diri sebagai generasi yang mampu berdaya saing pada masa akan datang.
Semoga aktiviti seumpama ini berjaya menarik minat lebih ramai pelajar dalam bidang tersebut dan juga memberi idea serta motivasi kepada tenaga pendidik di luar sana untuk melaksanakan program seumpamanya secara berterusan.
Maklumat Penulis
Guru Cemerlang SISMe, Dr Azlina A Rahman merangkap Pengarah Karnival STEM SISMe 2023