Bangga jadi anak Malaysia!

Pelajar dan guru bicara erti perpaduan

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
17 Sep 2025 01:00pm

Setiap kali tiba 16 September, seluruh rakyat Malaysia menyambut dengan penuh rasa syukur dan bangga tarikh keramat yang dikenali sebagai Hari Malaysia.

Bagi generasi muda, khususnya para pelajar, sambutan ini bukan sekadar cuti umum semata-mata, ia adalah detik bersejarah yang wajar difahami dan dihayati.

Pada tarikh inilah Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu bergabung membentuk sebuah negara baharu bernama Malaysia.

Dengan menyelami makna Hari Malaysia, pelajar dan para pendidik akan lebih menghargai jasa pemimpin terdahulu serta menanam rasa bangga dan cinta yang mendalam terhadap tanah air tercinta.

Sinar Bestari himpunkan beberapa perkongsian daripada pelajar dan guru seluruh negara mengenai pandangan mereka terhadap erti Hari Malaysia.

 

"Rakyat Malaysia dapat mengetahui tentang sejarah Malaysia dan mengambil iktibar daripada pembentukan negara ini.

"Generasi muda juga bersyukur apabila perkara berkenaan diingati sehingga kini kerana negara akan terus aman. Jika diberi peluang, saya akan menyemarakkan semangat Hari Malaysia dengan menyanyikan lagu-lagu patriotik. Selain itu, saya akan mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh semangat.” - Pelajar SMK Datuk Mansor, Thurgaeshiny Kumanan, 14

Artikel Berkaitan:

 

"Hari Malaysia disambut setiap tahun. Generasi muda dapat mengenali dan memahami sejarah serta mengambil iktibar daripada sejarah terdahulu.

"Saya berharap agar Malaysia sentiasa aman dan rakyat sentiasa bersatu padu. "Sambutan Hari Malaysia di sekolah boleh memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajar apabila semua terlibat bersama-sama melakukan setiap aktiviti bersama.

"Selamat Hari Malaysia! Semoga terus aman dan harmoni.” - Pelajar SMK Datuk Mansor, Leong Xin Wei, 14

 

“Bagi saya, Hari Malaysia ini memang sangat bermakna. Walaupun seperti cuti sekolah yang biasa tetapi bagi sesetengah orang, ia hari penting yang menyatukan kita semua sebagai rakyat Malaysia.

"Saya rasa bangga sebab walaupun kita berbeza kaum, budaya dan bahasa, masih boleh duduk bersama-sama bawah satu bendera.

"Lagi seronok apabila sekolah mengadakan sambutan seperti pertandingan pakaian tradisional, persembahan kebudayaan dan nyanyi lagu patriotik. Semua itu buat saya rasa lebih faham kenapa Malaysia ini istimewa. Harapnya semangat ini bukan setakat masa sambutan sahaja.” - Pelajar SMK Malim Nawar, Perak, Muhammad Aidil Mukminin Sabri, 16

 

"Selamat Hari Malaysia! Terima kasih kepada semua pejuang yang telah membina negara kita. Semoga tanah air tercinta ini sentiasa aman, makmur dan dihormati di mata dunia.

"Kami generasi muda bertekad untuk menjaga perpaduan dan membawa Malaysia ke arah kejayaan yang lebih gemilang.” - Pelajar SMK Jalan Kebun, Nur Alya Adrianna Mohamad Faizal, 15

 

"Hari Malaysia ini berlaku setiap tahun pada 16 September. Ia disebabkan Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu bersatu membentuk satu negara sebagai Malaysia.

"Generasi seperti kamilah yang perlu menghargai keamanan negara ini. Saya harap rakanrakan di luar sana mengetahui cara untuk menjaga keamanan negara. Semoga negara ini terus bertambah maju dan aman.

"Sebagai pelajar, kita patut bangga dan bersyukur dapat hidup dalam negara aman seperti ini.” - Pelajar SMK Paka, Terengganu, Foo Ji Xiang, 16.

 

"Sebagai seorang guru, saya akan menggalakkan pelajar untuk menyertai pelbagai program yang boleh memupuk perpaduan kaum di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

"Saya berikan contoh seperti kemasukan persembahan ‘Human ‘Graphic’ dan koir yang diadakan baru-baru ini. Itu antara satu usaha, semangat dan suara generasi baharu.

"Sepanjang Ogos dan September, sekolah juga boleh menganjurkan program seperti ceramah ringkas. Itulah antara platform yang pelajar boleh bertanya tentang sejarah dan budaya di Malaysia. Ia agar murid-murid yang pelbagai latar belakang tidak ada prasangka buruk antara satu sama lain.” - Guru Pembantu Penolong Kanan SMK Kepong, Bong Sieok Pong, 50.

 

"Peranan guru bukan sekadar mengajar sejarah tetapi ia sebagai menghidupkan jiwa patriotik.

"Guru ini umpama ‘DJ motivasi’ yang perlu mainkan lagu semangat, kongsi cerita kisah tokoh dan pupuk rasa bangga jadi anak Malaysia.” - Guru SMK USJ 4, Faten Namiera Amalin Hasbullah, 30.

 

"Memahami Hari Malaysia membantu pelajar menghargai sumbangan golongan terdahulu dan memupuk kesedaran bahawa keamanan serta kemakmuran perlu dipelihara bersama.

"Sebagai guru, kita perlu menunjukkan sikap patriotik, hormat kepada simbol negara dan menggalakkan diskusi beradab tentang sejarah negara.

"Ingatlah bahawa kemerdekaan dan perpaduan bukanlah sesuatu yang datang bergolek.

"Saya mengajak setiap daripada kita untuk menyumbang sesuatu walaupun kecil demi kebaikan bersama seperti menuntut ilmu dengan tekun, menghormati perbezaan dan menjadi warganegara yang bertanggungjawab.” - Guru Perpustakaan dan Media SMK Putrajaya Presint 9(2), Nurafidah Mohd Khalid.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp