Para pemain MRSM Balik Pulau meraikan kejayaan apabila merangkul kejuaraan Kejohanan Ragbi Super Schools.
Para pemain MRSM Balik Pulau meraikan kejayaan apabila merangkul kejuaraan Kejohanan Ragbi Super Schools.

MRSM Balik Pulau juara ragbi: 'Kejayaan bukan datang sekelip mata'

29 Jul 2025 10:00am

Kejayaan bersejarah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau, Pulau Pinang yang muncul juara Kejohanan Ragbi Super Schools 2025 Grand Final bukan diraih dengan mudah, tetapi melalui perjalanan yang panjang tanpa rasa jemu dan putus asa.

Pengorbanan besar tersebut dikongsi ketua jurulatihnya, Mohd Izzuwan Ahmad Sukri yang menzahirkan rasa syukur dan bangga di atas kejayaan menjulang piala berprestij itu buat kali pertama di Putrajaya pada Ahad.

Kejayaan penuh bermakna itu dilakar selepas wakil dari Pulau Pinang itu menewaskan Victoria Institution (VI), Kuala Lumpur 14 - 13 dalam aksi yang penuh dramatik dan mendebarkan di Taman Ekuestrian.

"Alhamdulillah. Ia adalah hasil usaha gigih dan latihan berterusan selama bertahun-tahun. Saya amat berbangga dengan kesungguhan dan semangat juang yang ditunjukkan para pemain.

"Mereka bermain dengan sepenuh hati dan semangat juang mereka di padang begitu luar biasa.

"Kejayaan ini bukan datang dalam sekelip mata, tetapi hasil dedikasi jangka panjang seluruh pasukan dan sokongan padu pihak pengurusan Majlis Amanah Mara (Mara) yang tidak pernah jemu membangunkan sukan ragbi di peringkat MRSM," katanya.

Kemenangan berkenaan juga menyaksikan MRSM Balik Pulau berjaya menafikan kejuaraan kali ketiga VI selepas mereka muncul juara pada edisi 2017 dan 2023.

Mohd Izzuwan turut menyifatkan kejayaan tersebut sebagai bukti bahawa tiada impian yang mustahil dicapai jika disertai usaha dan keyakinan diri.

Artikel Berkaitan:

"Kami buktikan dengan usaha, disiplin dan kepercayaan terhadap kemampuan sendiri, tiada yang mustahil," katanya.

WARTAWAN: AHMAD SYAHIR KASSIM

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp