Pecutan akhir SPM 2023
Guru SPM SMK Dusun Nanding perbanyakkan latihan soalan
Berbaki beberapa hari sahaja lagi sebelum semua pelajar Tingkatan Lima seluruh negara menduduki peperiksaan besar, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi ujian bertulis sebagai penamat zaman persekolahan.
Situasi ini pastinya menimbulkan perasaan gementar dan takut terutama dalam kalangan calon SPM yang bertungkus-lumus membuat persediaan menjawab kertas peperiksaan masing-masing.
Tidak hanya itu, para guru juga berdepan perasaan yang sama kerana ingin memastikan setiap anak didik bersedia dengan segala ilmu agar proses menjawab kertas peperiksaan nanti berjalan dengan lancar serta mudah.
Guru Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dusun Nanding, Selangor, Azrein Kaharudin berkata, pada saat akhir ini, pendekatan pembelajaran yang digunakan mengikut tahap keupayaan pelajar yang berbeza mengikut kelas.
“Untuk pelajar kelas depan misalnya, saya akan memfokuskan mereka pada karangan kerana jika penggunaan ayat serta bahasa yang menarik dan gramatis ia pasti akan membantu untuk mendapat keputusan cemerlang.
“Namun berbeza dengan pelajar yang tahap keupayaannya rendah, mereka akan difokuskan dengan kertas dua iaitu asas yang dipelajari sejak dari sekolah rendah.
“Dari sini, kita akan tengok bahagian mana yang boleh bantu mereka untuk dapatkan lebih banyak markah,” ujarnya kepada •Sinar Bestari.
Dibentengi emosi
Kata Cikgu Azrein, sebagai guru yang bertanggungjawab mengajar calon peperiksaan besar semestinya menghadapi cabaran tersendiri antaranya menghadapi emosi yang sedikit sebanyak boleh mengganggu fokus mereka.
Beliau yang sudah mengajar hampir 24 tahun itu memberitahu, walaupun agak sukar namun ia tidak menghalang dirinya menyelami hati setiap pelajar bagi menarik minat mereka khususnya ke arah akademik.
“Emosi pelajar ini berubah-ubah kerana mereka sudah berada di fasa remaja dan terdapat juga beberapa gangguan contohnya daripada rumah.
“Kita sebagai guru hendaklah cuba menyelami hati mereka dan apabila mereka sudah menunjukkan rasa selesa barulah secara perlahan kita tarik minat mereka ke arah akademik,” tambahnya.
Bercerita lanjut tentang silibus peperiksaan SPM masa kini, Cikgu Azrein memaklumkan terdapat dua kertas iaitu kertas tiga dan empat yang amat membantu pelajar mendapatkan sekurang-kurangnya lulus bagi subjek Bahasa Melayu.
“Kertas tiga bertutur meliputi 100 markah. Selagi pelajar boleh bertutur dan bercakap disertai dengan keyakinan diri, intonasi serta sebutan yang jelas ia tidak menjadi masalah untuknya.
“Bagi kertas empat iaitu ujian mendengar selagi pelajar boleh mendengar dengan baik dan boleh menulis apa yang didengari pastinya mereka boleh lulus,” ujarnya lagi.
Langkah finale
Selain itu, guru Matematik, Royati Abdul Saha mengakui pecutan terakhir yang dibuat untuk pelajarnya adalah dengan memberi semua soalan percubaan setiap negeri.
Katanya, tindakan itu sedikit sebanyak membantu pelajar untuk melatih tubi kerana ada kalanya soalan yang sama akan keluar pada kertas peperiksaan SPM.
Tidak cukup dengan itu, kelas tambahan juga sebenarnya sudah dijalankan pada bulan kedua persekolahan bermula.
“Kita mula buat kelas tambahan awal sebegini kerana pelajar mempunyai banyak topik untuk dikuasai bermula dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima.
“Jadi dengan kelas tambahan ia membantu pelajar untuk mengulang kaji segala yang telah dipelajari,” katanya.
Tambah Cikgu Royati, pelajar-pelajarnya juga ditekankan dengan belajar secara berkumpulan bersama rakan.
Ujarnya, kaedah ini membantu pelajar sederhana untuk lebih memahami setiap soalan sekiranya diajar oleh rakan sendiri kerana penggunaan bahasa yang lebih mesra dan mudah faham.
“Saya gelar mereka sebagai ‘guru muda’ iaitu pelajar yang pandai untuk mengajar kawan dan dari situ mereka sama-sama mengulangkaji soalan.
“Untuk pelajar yang cerdik kita sebagai guru tidak susah hati dan selalunya saya beri mereka banyak soalan untuk latih tubi,” jelasnya.