Program Serprais GEMPAK Iftar MakPak Leklau 2024 berjaya capai objektif dengan penglibatan luar biasa semua pihak.
Program Serprais GEMPAK Iftar MakPak Leklau 2024 berjaya capai objektif dengan penglibatan luar biasa semua pihak.

Pelajar MRSM Balik Pulau terkejut mak ayah muncul depan mata!

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
03 Apr 2024 04:51pm

Kejutan luar biasa dan cukup menjadi!

Itulah yang dapat penulis katakan terhadap program Serprais GEMPAK Iftar MakPak Leklau 2024, Sabtu lalu.

Program julung kali yang dianjurkan team Task Force Bas Balik Pulau dengan kerjasama badan Muafakat Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Balik Pulau, bertujuan memberi kejutan kepada pelajar MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang yang sememangnya tidak mengetahui kedatangan ibu bapa mereka ke maktab.

Menurut Ketua Program, Yusof Osman, sebanyak tiga buah bas disertai 110 orang yang terdiri daripada ibu bapa dan ahli keluarga pelajar mengikuti rombongan itu.

Katanya, majoriti yang hadir adalah mereka yang tinggal di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Anak-anak MRSM Balik Pulau memang tidak mengetahui kedatangan kami ke maktab. Mereka hanya dimaklumkan oleh guru supaya menjadi penyambut tetamu kepada rombongan bas yang hadir ke sekolah.

“Apabila kami tiba di perkarangan MRSM, semua pelajar terkejut dan ada sebahagian daripadanya menangis melihat mak ayah masing-masing turun dari bas.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

“Mereka terus meluru dan memeluk apabila ternampak ibu bapa yang datang sekali gus menghilangkan rasa rindu yang teramat sangat,” ujarnya yang menzahirkan rasa syukur kerana penasihat Task Force Bas Balik Pulau, Khalijah Yusof @ Khaty dan semua team memberi kerjasama dan sokongan tidak berbelah bahagi dalam memastikan program lancar.

Selepas sesi kejutan dibuat kepada anak-anak di maktab itu, ia diteruskan lagi dengan aktiviti iftar berkonsepkan berkelah di Dataran Ansara sekolah.

“Ibu bapa membawa menu kegemaran anak masing-masing dan kami sama-sama beriftar di dataran.

“Melihat wajah gembira anak-anak membuatkan semua ahli keluarga puas hati dengan program mengejut itu,” jelas Yusof.

Terdahulu, rombongan program Serprais GEMPAK Iftar MakPak Leklau bertolak pada 10.30 pagi dari tiga lokasi berbeza iaitu Shah Alam (Masjid Shah Alam), Kuala Lumpur (Masjid Wilayah) dan Bangi serta tiba sekitar 4.20 petang di MRSM Balik Pulau.

No Image Caption

Selain beriftar, ahli rombongan turut mengambil peluang menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih bersama warga maktab.

No Image Caption

Mereka juga sempat meraikan sambutan hari jadi kepada pelajar yang lahir Januari hingga Mac.

Turut diadakan pemberian duit raya kepada semua anak-anak MRSM Balik Pulau.

No Image Caption

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp