No Image Caption

Pelajar SMJK Chung Hwa Tenom harum nama negara, tarian Magunatip juara di pentas dunia Turkiye

11 Jun 2025 10:20am

Sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJC) Chung Hwa, Tenom, berjaya mengharumkan nama negara melalui tarian Magunatip yang dibawa ke peringkat antarabangsa dalam Festival dan Pertandingan Tarian Rakyat Antarabangsa ke-26 yang berlangsung di Istanbul, Turkiye.

Tarian tradisional suku kaum Murut yang dipersembahkan itu berjaya menarik perhatian penonton dan memikat hati juri, sekali gus membawa kepada kemenangan dalam pertandingan yang berlangsung sejak 29 Mei hingga 1 Jun lalu.

Kumpulan pelajar itu menewaskan 13 pasukan lain daripada pelbagai negara selepas diumumkan sebagai juara keseluruhan bagi pertandingan tersebut.

Kejayaan turut disusuli dengan satu lagi pencapaian membanggakan apabila pasukan tersebut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Persembahan Terbaik sekali gus mengukuhkan reputasi pasukan sebagai antara yang terbaik di peringkat global.

Menurut jurulatih kebudayaan sekolah berkenaan, Siti Faridah Lawadin, kejayaan itu merupakan hasil usaha gigih pelajar serta sokongan padu daripada pihak sekolah dan komuniti.

"Mereka berjaya mengatasi 13 pasukan lain dari seluruh dunia dan muncul sebagai juara.

"Ini bukan sahaja mengangkat nama sekolah dan Sabah, tetapi juga meletakkan seni tradisional kita di pentas dunia," katanya sebaik tiba bersama rombongan pelajar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), awal pagi Selasa.

Tambah Siti Faridah lagi, penyertaan itu menjadi platform penting dalam memartabatkan budaya tempatan ke peringkat antarabangsa serta menyemai rasa bangga dalam kalangan generasi muda untuk terus mewarisi dan memelihara seni tradisi.

Artikel Berkaitan:

"Persembahan hebat ini mendapat tepukan gemuruh daripada penonton antarabangsa dan delegasi kebudayaan yang hadir. Ia secara tidak langsung memperkukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Turkiye melalui pendekatan budaya serta warisan.

"Ini juga sekali gus menonjolkan Sabah sebagai antara negeri yang aktif mempromosikan budaya etniknya di peringkat global," katanya.

Kongsinya lagi, pasukannya itu turut berjaya menamatkan dominasi juara terdahulu dari Rusia, yang memenangi edisi pertandingan pada tahun 2024.

Sebelum itu, tarian Magunatip amat sinonim dengan masyarakat Murut di mana penarinya memerlukan ketangkasan yang luar biasa dan koordinasi yang tinggi untuk mempersembahkan tarian tersebut.

Penari perlu melompat antara batang buluh yang diketuk secara berirama dan ia disifatkan sebagai suatu persembahan yang bukan sahaja memukau dari segi visual, tetapi juga mencerminkan kekuatan fizikal, disiplin, dan warisan budaya yang mendalam.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp