
Pelajar Tingkatan 4 hilang selepas keluar berbuka puasa. 'Nornabila, awak pergi mana?'
Pelajar perempuan Tingkatan Empat dari sekolah menengah di Kuantan, Pahang, Nornabila Abdullah, 16, dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah pada petang Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berdasarkan laporan, Nornabila dikatakan keluar rumah pada jam 3 petang.
Katanya, ibu saudara Nornabila berusia 23 tahun memaklumkan yang anak saudaranya itu memberi alasan bertemu rakan dan akan berbuka puasa di luar sebelum pulang ke rumah ibunya.
"Nornabila yang juga anak sulung daripada empat beradik menetap bersama ibu saudaranya.
"Pada jam 11.30 malam tadi, ibu saudara menghubungi kakak ipar iaitu ibu Nornabila dan bertanyakan sama ada Nornabila pulang ke rumah itu tetapi tiada.
"Ibu saudara cuba menghubungi tetapi panggilan tidak dijawab. Bimbang keselamatan anak saudaranya, dia membuat laporan polis pada jam 10.29 pagi ini,” ujarnya.
Dalam siasatan awal, Wan Mohd Zahari berkata, ibu saudara tidak mengetahui punca Nornabila tidak pulang ke rumah.
Ujarnya, tiada sebarang masalah yang berlaku antara mereka
"Ketika keluar rumah, Nornabila hanya membawa beg silang, berpakaian kemeja corak kotak berwarna coklat dan seluar jeans biru serta memakai kasut tumit tinggi berwarna putih.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai remaja ini boleh berhubung terus dengan balai polis berhampiran," katanya.