No Image Caption

Piala Datuk Mokhtar Dahari 2023 buka gelanggang

ZURAIMEE ZAINALZURAIMEE ZAINAL
11 Oct 2023 06:16pm

Piala Datuk Mokhtar Dahari 2023 kembali menyingkap tirai menemukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam dan SMK Datuk Harun, Tanjung Karang bagi perebutan Piala Sumbangsih di padang sintetik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 19, Shah Alam, Selangor pada Rabu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Piala Datuk Mokhtar Dahari 2023, Hashim Anang berkata, kejuaraan kali ini melibatkan penyertaan 32 pasukan sekolah menengah mewakili 10 daerah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seluruh Selangor.

Menurutnya, edisi 2023 yang dibarakan dengan penajaan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad bagi kategori Bawah 18 tahun (B-18) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) bagi kategori B-15 menjanjikan persaingan sengit daripada setiap pasukan.

“Aksi Piala Sumbangsih yang merupakan perlawanan pembuka tirai B-18 Piala Datuk Mokhtar Dahari akan menemukan juara edisi 2022, SMK Shah Alam menentang naib juara edisi lalu, SMK Datuk Harun, Tanjung Karang.

“Saya menjangkakan satu perlawanan sengit apabila SMK Datuk Harun, merupakan juara bertahan 2021 yang tewas 2-3 dalam perlawanan akhir pada tahun lalu pasti mahu menebus kekecewaan sebelum ini.

“SMK Shah Alam yang juga pertama kali merangkul kejuaraan berganda (kategori B-18 dan B-15) Piala Datuk Mokhtar Dahari pada 2022 tentu sahaja mahu bermula langkah kanan dengan pemburuan trofi pertama,” katanya.

Juara Piala Datuk Mokhtar Dahari kategori B-18 akan membawa pulang RM10,000; naib juara RM7,000; tempat ketiga RM5,000 dan keempat RM3,000.

Artikel Berkaitan:

Juara Piala Datuk Mokhtar Dahari kategori B-15 pula akan menerima RM8,000; naib juara RM6,000; ketiga RM4,000 dan keempat RM2,000.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp