Platform terbaik elak pelajar terus tercicir
PIMA beri peluang pelajar untuk menguasai bidang kemahiran dan vokasional
Sebagai salah sebuah sekolah yang menawarkan program Perantisan Industri Menengah Atas (PIMA), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rahman Putra, Selangor sentiasa menambah baik keperluan program agar peratusan pelajar tercicir atau tidak hadir ke sekolah dapat dikurangkan.
Penyelaras PIMA, Lilywati Ali Mustaffa berkata, antara penambahbaikan yang dilakukan adalah membuka peluang kepada para pelajar sekolah lain di kawasan sekitar yang berminat ke arah kemahiran berbanding akademik.
Walaupun penyertaan pelajar dalam program ini tidak melebihi seramai 15 orang disebabkan oleh kekangan bilangan industri yang bekerjasama dengan sekolah, namun ia masih mendapat sambutan terutama mereka yang berminat dalam bidang kemahiran dan teknikal.
“Sebelum dipilih untuk mengikuti program PIMA ini, kita akan temu duga dahulu pelajar dan lihat minat serta kecenderungan mereka.
“Pelajar akan melalui ujian psikometrik, kemudian barulah dipilih oleh kami kerana PIMA bukan hanya memfokuskan bidang kemahiran.
“Setakat ini, untuk kemasukan pelajar baharu dari sekolah lain, kita sudah dapat dalam lima orang,” katanya kepada Sinar Bestari baru-baru ini.
Lilywati berkata, program PIMA yang diusahakan itu adalah salah satu platform buat para pelajar yang tidak berminat ke arah akademik dan tiada peluang belajar di mana-mana kolej vokasional (KV).
Bezanya, pelajar di KV mempelajari ilmu kemahiran di institusi melalui guru-guru yang ditugaskan tetapi pelajar PIMA, mendapatkan ilmu itu secara terus oleh pihak industri mengikut minat masing-masing.
“Ia sebenarnya bagus sebab kami sebagai cikgu mungkin ilmunya terhad tetapi bila belajar secara terus dengan orang industri mereka bukan sahaja dapat ilmu dengan lebih teliti, malah berpeluang untuk merasai sendiri bagaimana pekerjaan itu dilakukan.
“Alhamdulillah, saya lihat perkembangan pelajar PIMA semakin bagus dan ada sebelum ini, salah seorangnya diberikan elaun sebanyak RM1,500 oleh syarikat yang melatih di atas kemahiran dan kepakaran yang dia ada,” ujarnya lagi.
Menjelaskan tentang kerjasama sekolah dan pihak industri, Lilywati berkata, kebanyakan sekolah akan mencari mana-mana tempat yang berminat untuk bekerjasama.
Namun ada sebahagian tempat industri yang dipilih sendiri oleh pelajar dan ibu bapa mengikut kesesuaian dari aspek berdekatan dengan sekolah dan tempat tinggal bagi memudahkan perjalanan pergi balik pelajar serta guru untuk datang membuat lawatan.
Bercerita lanjut tentang pendidikan pelajar PIMA ini, Lilywati menjelaskan mereka juga perlu mengambil tiga subjek utama bagi memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Tiga subjek tersebut ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah. Ketika peperiksaan SPM nanti, mereka akan mengambil ujian sama seperti pelajar arus perdana yang lain.
“Selain itu, mereka juga perlu belajar dua subjek lain di bawah Matapelajaran Aliran Kemahiran (MPAK) iaitu Matematik dan Pendidikan Islam, manakala Pendidikan Moral bagi pelajar bukan beragama Islam.
“Bezanya, subjek Matematik ini tidak sama silibusnya dengan pelajar arus perdana dan mereka selalunya akan mengambil peperiksaan SPM awal dua bulan untuk subjek berkenaan,” katanya.
Mengakhiri perbualan, Lilywati menyatakan harapannya agar PIMA dapat diperluaskan lagi ke sekolah-sekolah seluruh negara supaya pelajar yang tidak berminat ke arah akademik mempunyai peluang meneruskan pembelajaran walaupun dalam bidang kemahiran.
Apa kata mereka?
"Saya memang minat dalam bidang membaiki. Disebabkan itu, saya memilih menyertai PIMA. Alhamdulillah, mak ayah pun sokong dan memberi dorongan saya meneruskan pembelajaran bidang membaiki kereta. Kini, saya membuat latihan industri di Ijan Auto & Tyre Services tentang pembaikan kereta. Jika ada rezeki, saya akan sambung dalam bidang kemahiran.”- Pelatih servis automatif, Muhammad Hazlam Kamiv
"Saya memang meminati pembuatan bakeri seperti kek dan roti kerana dalam keluarga iaitu makcik, memang ada bisnes kecil-kecilan menjual manisan. Dari situ, saya memasang niat untuk belajar lagi dalam bidang ini. Di sekolah, saya belajar kemahiran antaranya membuat roti piza, roti sosej bun dan baru-baru ini, membuat donat. Diharapkan melalui kemahiran yang ada ini, dapatlah membuka kedai bakeri sendiri suatu hari nanti.”- Pelatih bakeri, Wan Batrisyia Baharudin
"Sejak kecil lagi diperkenalkan dengan spanar. Dari situ, saya belajar sedikit demi sedikit tentang motor dan enjin. Kini, saya membuat latihan di Sixty Six Speed Bike dan bos mula memberi kepercayaan untuk saya baiki motor pelanggan. Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya berhasrat menimba seberapa banyak pengalaman agar dapatlah membuka bengkel motosikal.” Pelatih servis motosikal berkuasa tinggi, Muhammad Hazim Fahmi Fadzri