Projek 'It's Okay' Nur Afiqa terpilih ke Manila, warga KV Keningau luah rasa bangga
Seorang pelajar Seni Kulinari, Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah, Nur Afiqa Amani, 19, terpilih sebagai delegasi negara bagi Sidang Kemuncak Belia: Transformasi Pendidikan Asia Tenggara di Manila, Filipina pada 27 hingga 28 Jun lalu.
Dalam sidang kemuncak itu, Nur Afiqa membentangkan projeknya yang berkaitan dengan kesihatan mental.
Menurut Guru KV Keningau, Cikgu Anita Md Yasin, perjalanan pelajarnya ke Manila ditanggung sepenuhnya oleh penganjur iaitu Southeast Asian Ministers of Education Organization (SEAMEO) Regional Center for Educational Innovation and Technology (INNOTECH).
Kata Cikgu Anita, program itu berlangsung di kampus organisasi berkenaan yang terletak di Quezon City dan Nur Afiqa diiringi beliau selaku Ketua Jabatan Hospitaliti kolej berkenaan.
“Pemilihan projek untuk dibentang di sidang kemuncak belia ini adalah sangat sengit dan ia terhad kepada belia di rantau Asia Tenggara (ASEAN) membabitkan 10 negara.
“Syukur alhamdulillah, dia terpilih untuk membentangkan projeknya di Manila dan ini adalah satu pencapaian membanggakan buat seluruh warga KV Keningau,” ujarnya kepada Sinar Bestari.
Tambah Cikgu Anita, Nur Afiqa merupakan seorang Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) di kolej itu dan dia mengetuai pasukan PRS dengan melaksanakan projek kesihatan mental yang dinamakan ‘It’s Okay’.
“‘It’s Okay’ adalah projek yang membantu para pelajar menangani masalah kemurungan dan kebimbangan melampau menggunakan kemahiran sosioemosi.
“Melalui projek tersebut, dia telah berjaya membimbing pasukannya melaksanakan beberapa aktiviti seperti bengkel pembelajaran sosioemosi, terapi origami, pesta tarian dan kembara alam,” ujarnya dengan menambah Nur Afiqa turut mengetuai pasukannya membentang aktiviti berkenaan di tiga persidangan dalam talian.
Sementara itu, Nur Afiqa meluahkan rasa gembira kerana terpilih ke Filipina sekali gus dapat berkongsi hasil projeknya dengan orang ramai.
“Bangga dan teruja apabila diberi peluang ke sana. Terima kasih kepada KV Keningau kerana mempercayai bakat dan kebolehan yang saya ada ini,” ujar pelajar berkenaan.
Dalam pada itu, Pengarah KV Keningau, Christine Stanislaus Kinsik bangga dengan keberanian anak didiknya yang merintis program tersebut dengan kesihatan mental seterusnya mendapat perhatian organisasi pendidikan berprestij iaitu SEAMEO INNOTECH.
“Dengan pemilihan Nur Afiqa ini, besar harapan saya agar projek tersebut diperkukuhkan serta disebar luas ke sekolah-sekolah lain dan masyarakat setempat,” katanya.